Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Profesor Datuk Dr Mohd Hamdi Abd Shukor dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaya (UM) yang baharu berkuat kuasa 1 November ini.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataannya berkata, pelantikan Mohd Hamdi yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bagi menggantikan penyandang jawatan Datuk Dr Abdul Rahim Hashim yang akan tamat kontrak esok.

Katanya, lantikan baharu itu sah dalam tempoh tiga tahun sehingga 31 Oktober 2023.

"Pelantikan itu dibuat selepas Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam bersidang dan membuat penilaian terhadap calon-calon pada 5 Oktober lalu.

"Kementerian percaya dengan pelantikan ini, Mohd Hamdi dapat meneruskan kesinambungan pencapaian dan sumbangan beliau dalam mengekalkan pencapaian dan kegemilangan Universiti Malaya sebagai universiti penyelidikan terkemuka di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

MOHD Hamdi. FOTO Arkib NSTP
MOHD Hamdi. FOTO Arkib NSTP

Dalam pada itu, KPT turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Abdul Rahim atas segala sumbangan dan kepemimpinan beliau selama ini sehingga UM dinobatkan sebagai antara universiti terbaik dunia.

Sebelum ini, Mohd Hamdi, 49, sudah berkhidmat sebagai Naib Canselor UKM hampir dua tahun selain memegang jawatan pentadbiran dan akademik yang lain seperti Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal) dari Imperial College, London, England; Master of Science in Advanced Manufacturing Technology & System Management dari University of Manchester Institute Science and Technology, United Kingdom dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Doctor of Engineering on Thin Film Coating for Biomedical Applications dari Kyoto University, Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 12:06 PM