Foto hiasan
Foto hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jambu di Taiping ditutup selama tujuh hari bermula hari ini susulan jangkitan Covid-19 di sekolah berkenaan.

Ia menjadikan sebanyak empat sekolah di Perak yang masih ditutup berikutan penularan pandemik itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak Razman Zakaria berkata, perkara itu disahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dengan penutupannya adalah sehingga 5 November depan.

Menurutnya, sesi persekolahan hanya akan kembali dibuka pada hari Isnin, 9 November.

"Sebagai langkah susulan, semua sekolah yang terbabit dan mempunyai risiko kebolehjangkitan Covid-19 ini akan disanitasi dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, selain SK Kampung Jambu yang terletak dalam daerah Larut Matang dan Selama (LMS), tiga lagi sekolah yang masih ditutup adalah membabitkan dua sekolah di Kerian serta Batang Padang (1).

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali dalam satu kenyataan berkata, penutupan SK Kampung Jambu dibuat susulan pengesahan kes jangkitan Covid-19 membabitkan warga sekolah berkenaan.

Beliau berkata, sepanjang tempoh penutupan itu, pentadbir sekolah diarah untuk memastikan guru serta murid sekolah itu melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PnP) di rumah.

"Manual PnP di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) di www.moe.gov.my," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 8:23 AM