FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Jumlah individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih lagi dianggap tinggi apabila seramai 549 individu ditahan, semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 547 individu dikompaun manakala dua direman atas pelbagai kesalahan.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (188), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (154), penjarakan fizikal (79), premis beroperasi lebih masa (34), aktiviti di pusat hiburan (9) dan lain-lain (85)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sebanyak 46,853 pemeriksaan dijalankan semalam oleh 3,116 Pasukan Pematuhan dengan kekuatan 10,960 anggota.

Dalam pada perkembangan lain, beliau berkata, Operasi Benteng yang dijalankan semalam berjaya menahan 14 pendatang asing tanpa izin.

"Turut berjaya dirampas satu kapal atau bot dan enam kenderaan darat.

"Sebanyak 291 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang membabitkan Polis Diraja Malaysia (217 SJR), Angkatan Tentera Malaysia (66 SJR) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (9 SJR)," katanya.

Katanya, sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 56,699 individu dari 36 negara pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 65 Hotel dan 17 premis lain di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, 9,523 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 381 individu dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 46,795 individu lagi sudah keluar hospital dan dibenarkan pulang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 4:56 PM