AL-SULTAN Abdullah menerima menghadapMuhyiddin untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara. FOTO ihsan Istana Negara
AL-SULTAN Abdullah menerima menghadapMuhyiddin untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara. FOTO ihsan Istana Negara
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021.

Baginda bertitah, ia demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam satu kenyataan, berkata, Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa Belanjawan 2021, adalah amat penting kepada Kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya petugas barisan hadapan, untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha-usaha membendung dan menangani ancaman wabak Covid-19 daripada terus merebak.

Beliau berkata, sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menyeru supaya Ahli-ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda untuk menghentikan segera segala perbalahan politik dan sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan.

"Seri Paduka Baginda mengingatkan Ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing akan merugikan negara dan seluruh rakyat akan menjadi mangsa pada ketika negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman wabak Covid-19 ini," katanya.

Ahmad Fadli berkata, Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.

Beliau berkata, dalam sesi menghadap yang berlangsung lebih sejam dari 8 pagi tadi, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima taklimat ringkas berhubung Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Parlimen, 6 November nanti.

Katanya, baginda menzahirkan harapan Seri Paduka Baginda agar Belanjawan 2021 ini memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan Covid-19.

"Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan penuh kemampuan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui kepimpinan negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis ini.

"Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan Kerajaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 3:08 PM