Saipul Adli Mohamad dan Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Jadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai iktibar dan berharap tidak akan berulang.

Itu kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkaitan kebimbangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai pilihan raya.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mengemukakan beberapa cadangan termasuk tidak melaksanakan sebarang pilihan raya dalam masa terdekat.

Menurutnya, PRN Sabah sebelum ini terbukti menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19.

"Cadangan kami adalah supaya tidak diadakan pilihan raya buat masa ini.

"Jika pilihan raya terpaksa diadakan, mungkin kita perlu melihat kepada beberapa tindakan lain seperti tidak boleh rentas negeri dan daerah atau balik kampung untuk mengundi," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, tiga fokus utama yang perlu diberi perhatian oleh SPR jika perlu mengadakan pilihan raya ialah cara berkempen, tiada lawatan dari rumah ke rumah dan undi pos.

"Selain itu, kita perlu menambah baik prosedur operasi standard (SOP) berkaitan yang sedia ada bagi meminimumkan penularan jangkitan Covid-19.

"Walaupun SOP sudah ada, apa yang penting adalah kepatuhan kepada SOP itu," katanya.

Sebelum ini, SPR menetapkan 23 November ini sebagai tarikh penamaan calon dan 5 Disember sebagai tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Kerusi berkenaan kosong susulan kematian penyandang, Datuk Liew Vui Keong daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) pada 2 Oktober lalu.

PUTRAJAYA 26 OCTOBER 2020. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
PUTRAJAYA 26 OCTOBER 2020. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 8:05 PM