FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Tindakan seorang pekerja sebuah syarikat roti memukul rakan sekerja membawa padah apabila dia didenda RM900 oleh Mahkamah Majistret Bahau, hari ini.

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman itu ke atas Md Hafizal Saidin, 46 dari Triang, Pahang selepas tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, pada jam 4.30 pagi 23 Oktober lalu tertuduh bertempat di syarikat roti di Taman Megah dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Norazmannizam Mohd Nor, 37.

Berikutan itu, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 323, Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pada jam 4.30 pagi 23 Oktober lalu, berlaku pertengkaran di antara Norazmannizam dengan penyelianya berkaitan masalah kerja syarikat roti berkenaan.

Bagaimanapun, ketika pertengkaran itu berlaku tertuduh secara tiba-tiba datang memukul Norazmannizam sebanyak dua kali dengan menggunakan kerusi plastik di bahu dan tangan sebelah kanan.

Hasil siasatan, tertuduh sebelum ini pernah berselisih faham dengan Norazmannizam berkaitan masalah kerja.

Khir Nizam turut mengarahkan tertuduh dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 3:48 PM