FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih tinggi apabila seramai 688 individu ditahan, semalam dengan 678 individu dikompaun, manakala 10 individu pula direman.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 213 kes membabitkan kesalahan penjarakan fizikal (213) diikuti tidak memakai pelitup muka (211), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (136), rentas negeri atau daerah PKPB tanpa kebenaran (37) dan lain-lain kesalahan (91).

"Sebanyak 53,974 pemeriksaan dilakukan melalui Task Force Operasi Pematuhan membabitkan 2,524 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 11,759 anggota.

"Task Force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng juga menahan 10 pendatang asing tanpa izin (Pati) serta berjaya merampas lima kenderaan darat melalui 303 sekatan jalan raya.

"Sehingga semalam, seramai 54,312 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa. Daripada jumlah itu, seramai 8,683 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 67 hotel.

"Seramai 381 individu pula dibawa ke hospital untuk rawatan, manakala 44,900 individu telah dibenarkan pulang kerumah,"katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah dilanjutkan dari 27 Oktober sehingga 9 November ini.

"Ia meliputi seluruh daerah-daerah di Sabah termasuk Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna yang sepatutnya berakhir esok di mana tempoh PKPB serta SOP daerah-daerah ini juga sama seperti PKPB Sabah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 4:50 PM