Omar Ahmad

Johor Bahru: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan penyelesaian menang-menang antara pihak pengurusan dan 150 peniaga di Larkin Sentral, di sini, yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Izhar Ahmad berkata, ia perlu dibuat bagi memastikan dalam membela nasib peniaga, keadaan kewangan pihak pengurusan juga terjamin serta stabil.

Katanya, dimaklumkan semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu, peniaga diberikan pengecualian kadar sewa.

"Malah pihak pengurusan turut memberi pengurangan kadar sewa secara berperingkat kepada peniaga antara 30 hingga 50 peratus selepas PKP.

"Pihak pengurusan Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral juga baru tiga bulan mengutip kadar sewa penuh daripada peniaga pada Julai, Ogos dan September.

"Sekarang ini berlaku satu tekanan lagi kepada peniaga yang menyebabkan mereka tidak boleh bertahan. Esok saya akan mengadakan masyuarat dan berbincang dengan pihak pengurusan Larkin Sentral.

"Kita lihat apa kaedah penyelesaian terbaik dan melihat lebih kepada pemberian pengurangan (diskaun).

"Tetapi kita perlu melihat juga kedudukan kewangan pihak pengurusan, mereka pun ada tanggungjawab yang perlu dilakukan. Saya harap situasi menang-menang," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Program 3P (Peningkatan, Pemerkasaan dan Pemulihan) Geran Kendera Saji di sini, hari ini.

Baru-baru ini, tinjauan di kawasan lot perniagaan di situ mendapati suasana terminal berkenaan suram dan hambar berikutan ketiadaan pengunjung berbanding sebelum ini yang sentiasa dipenuhi orang ramai.

MOHD Izhar (Kanan) meninjau perniagaan food truck pada Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Program 3P di Angsana Johor Bahru Mall. FOTO Omar Ahmad
MOHD Izhar (Kanan) meninjau perniagaan food truck pada Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Program 3P di Angsana Johor Bahru Mall. FOTO Omar Ahmad

Sebelum penutupan sempadan Malaysia-Singapura, Mac lalu, dianggarkan kira-kira 100,000 pekerja Malaysia di Singapura berulang-alik dengan menaiki bas di terminal berkenaan.

Pengunjung Singapura juga datang berbelanja hampir setiap hari dan hujung minggu di situ.

Sejak Mac lalu, pendapatan peniaga merosot sehingga 90 peratus, malah selepas Lembah Klang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat pada 14 Oktober lalu, keadaan makin kritikal bagi peniaga yang 90 peratus daripadanya adalah Bumiputera.

Menurut Mohd Izhar, keadaan itu bukan sahaja berlaku kepada peniaga di Larkin Sentral, malah turut dialami peniaga di tempat lain.

Katanya, kerajaan negeri menerusi Menteri Besar Datuk Ir Hasni Mohammad sedang berusaha supaya pintu sempadan Malaysia-Singapura dapat dibuka secepat mungkin.

"Kita seolah-olah tiada pilihan, kita dengan Singapura sangat dekat. Langkah itu adalah jalan yang dilihat dapat menyelesaikan kemelut ekonomi di negeri ini.

"Semuanya bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP). Kita sudah buat perbentangan tentang SOP dan kaedah kita antara kerajaan dengan kerajaan (Singapura) bagi memastikan tiada kluster baru wujud.

"Dengan kes yang mendadak setiap hari, kita kena seimbangkan antara ekonomi dan kesihatan awam.

"Tetapi bagi pemain industri ini, ekonomi adalah utama dan kesihatan adalah risiko. Apa jua keputusan, kita perlu tunggu kerajaan persekutuan yang memutuskannya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 2:18 PM