Ketua Polis Johor,  Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay meninjau orang ramai yang mahu membayar saman di kaunter bayaran saman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)  Pontian,  di sini,  hari ini. FOTO FARID NOH
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay meninjau orang ramai yang mahu membayar saman di kaunter bayaran saman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di sini, hari ini. FOTO FARID NOH
Mohamed Farid Noh


Pontian: Sehingga akhir bulan lalu, hanya 68,860 saman yang dikeluarkan kepada warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan trafik di negeri ini sudah dibayar.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia berbanding sejumlah 262,272 saman tertunggak yang dikeluarkan kepada golongan berkenaan sejak tahun 2000 bagi tempoh sama masih belum dijelaskan.

"Hanya 26 peratus warga asing sudah menjelaskan saman trafik tertunggak sejak tahun 2000 hingga akhir bulan lalu. Manakala 193,713 saman tertunggak lagi masih belum dijelaskan sehingga kini.

"Berhubung saman tertunggak warga Singapura, setakat ini tiada waran tangkap dikeluarkan kepada mereka memandangkan proses pembayaran boleh dibuat secara dalam talian.

"Namun Polis Johor sentiasa memantau pintu masuk di sempadan Malaysia-Singapura bagi membuat pemeriksaan saman tertunggak dan kita akan meminta saman dibayar serta-merta sebelum dilepaskan memasuki negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kaunter bayaran saman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Mustafa Bakri Salleh.

Sementara itu, Ayob Khan memaklumkan pematuhan rakyat Johor terhadap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di negeri ini, merekodkan peningkatan ketara.

Katanya, jumlah kompaun ingkar SOP Covid-19 di negeri ini juga merekodkan penurunan.

"Alhamdulilah saya lihat pematuhan rakyat semakin meningkat dan tiada kes lagi melanggar kuarantin seperti mana berlaku di negeri lain.

"Kita tidak mahu wujud kluster baharu di Johor. Oleh itu semua perlu entiasa patuh bagi elak penularan Covid-19," katanya.

Tambahnya, sebanyak 3,564 kompaun telah dikeluarkan sehingga kini kepada orang yang melanggar SOP.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 3:17 PM