PETUGAS LUAS menguji sampel air Sungai Kundang yang alami pencemaran bau hingga 10 ton. FOTO Ihsan LUAS.
PETUGAS LUAS menguji sampel air Sungai Kundang yang alami pencemaran bau hingga 10 ton. FOTO Ihsan LUAS.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kerajaan negeri mengesahkan kilang yang dipercayai menjadi punca pencemaran bau sehingga 10 ton di Sungai Kundang, kelmarin adalah industri berlesen di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, siasatan mendapati kilang itu terletak di kawasan perindustrian Kundang, Rawang.

"Kilang itu adalah kilang berlesen dengan MPS yang sudah beroperasi selama 19 tahun, sejak 2001. Ia kilang membuat dan memproses produk minyak kelapa sawit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hee berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sudah membuat laporan polis berhubung insiden itu, semalam bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

Menurutnya, setakat ini rekod mendapati kilang itu tidak pernah menerima notis berdasarkan kesalahan di bawah Enakmen LUAS 1999.

Semalam, media melaporkan siasatan awal LUAS bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mendapati pencemaran bau yang dikesan di Sungai Kundang adalah daripada bahan biodiesel.

Penjejakan pencemaran itu membawa kepada sebuah kilang di kawasan perindustrian Kundang Jaya yang kemudian dikenakan Surat Arahan henti discaj efluen serta-merta dan lakukan pembersihan di bawah Seksyen 121(1), Enakmen LUAS 1999

Berita berkaitan

Polis terima laporan pencemaran di Sungai Kundang

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 11:03 AM