Suami isteri bergelar Datuk dan Datin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan menggunakan dua dokumen palsu. FOTO Eizairi Shamsudin.
Suami isteri bergelar Datuk dan Datin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan menggunakan dua dokumen palsu. FOTO Eizairi Shamsudin.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Suami isteri bergelar Datuk dan Datin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan menggunakan dua dokumen palsu berhubung cadangan pembangunan pangsapuri.

Mokhtar Haron, 66, dan Noorizan Abd Shukor, 43, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

"Mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan," kata Mokhtar dan Noorizan yang berada di dalam kandang tertuduh selepas pertuduhan dibacakan.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, mereka didakwa bersama-sama dengan curangnya telah menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen, iaitu surat 'Permohonan Cadangan Pembangunan Menara Pangsapuri 40 Tingkat (252 unit)' bertarikh 24 Oktober 2019 dan 'Cadangan Cantuman Lot (7 kepada lot) untuk Pembangunan Pangsapuri' bertarikh 29 Oktober tahun lalu, yang mana kedua-dua tertuduh mengetahui dokumen itu suatu dokumen palsu.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di TPC Kuala Lumpur Golf & Country Club di sini pada 30 Oktober 2019, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama yang dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan menawarkan jaminan RM200,000 bagi setiap tertuduh.

Peguam Rodzim Zaimy Abdul Hamid yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan yang rendah.

"Anak guam saya (Mokhtar) menghidap penyakit 'panic disorder' (serangan keresahan) dan tidak bekerja hanya menjalankan kerja-kerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) .

"Isterinya, Noorizan pula menghidap diabetes dan merupakan seorang suri rumah," katanya dan menambah sepanjang siasatan dijalankan sejak awal tahun ini, kedua-dua anak guamnya memberi kerjasama baik dengan pihak berkuasa.

Beliau berkata kedua-dua tertuduh adalah pasangan suami isteri yang mempunyai seorang anak berusia 18 tahun dan masih belajar di sebuah universiti serta seorang anak berumur tujuh tahun.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis Ayer Keroh di Melaka memandangkan mereka tinggal di Melaka.

Izralizam menetapkan 2 Disember untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 3:32 PM