GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Akan dirahsiakan! Itu tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengambil pendirian tidak akan mendedahkan nama artis yang akan dipanggil pihaknya.

Bagaimanapun SPRM memaklumkan sudah mempunyai senarai nama selebriti yang akan dipanggil dalam masa terdekat berhubung siasatan kes pengubahan wang haram.

Sumber berkata, identiti baki lapan artis lagi (akan dipanggil SPRM) tidak akan didedahkan kerana SPRM sudah memaklumkan kepada mereka secara peribadi.

"Setakat ini, SPRM sedang menunggu mereka untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes pengubahan wang haram itu.

"Kami berharap mendapat kerjasama yang baik dari semua pihak sekaligus dapat menyelesaikan siasatan kes ini," katanya.

Menurutnya, pihak SPRM kini sedang menyiasat berhubung harta dan kenderaan individu-individu yang disyaki terbabit daam pengubahan wang haram.

"Berhubung sitaan terbaru, SPRM kini masih menyiasat dan mengkaji harta individu yang terbabit sebelum sitaan dilakukan," katanya.

Semalam, SPRM memaklumkan akan memanggil 10 lagi artis bagi membantu siasatan berhubung sindiket pengubahan wang haram, Macau Scam dan perjudian dalam talian.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki meminta semua selebriti dan ahli perniagaan terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram supaya tampil membantu siasatan.

Menurutnya, arahan itu bagi mengelakkan SPRM menahan mereka yang berkenaan dalam masa terdekat.

"Tidak kira selebriti atau siapapun dan mana-mana pihak yang pernah menerima (dana sindiket) daripada individu yang ditahan SPRM diminta tampil sebelum kami panggil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 4:12 PM