GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Penjujukan genom pesakit yang dijangkiti Covid-19 memberikan kelebihan kepada New Zealand dalam menangani penularan wabak itu sejak Februari lalu.

Malah melalui penjujukan genom, kerajaannya berupaya mengesan punca setiap jangkitan dalam negara itu.

Bekas Perdana Menterinya, Helen Clark, berkata, dengan maklumat dan data penjujukan genom itu, ia membantu memperketat dan memperkukuhkan sebarang usaha memutuskan penularan Covid-19 di negara berkenaan.

Mengambil contoh kes membabitkan seorang pekerja penyenggaraan sebuah hotel, Clark berkata, sebaik dikesan positif, pihak berkuasa kesihatan berupaya mengesan punca jangkitan dengan membandingkan jujukan genom virus yang menjangkiti individu itu dengan data yang sedia ada dalam sistem untuk mengetahui siapa yang pergi ke hotel berkenaan.

"Melalui perbandingan itu, kami dapat mengetahui dari mana jangkitan itu dan ia membantu kami memperincikan lagi prosedur sedia ada dan pengurusan pusat isolasi.

"Ia membolehkan kami memperketatkan prosedur pada sepanjang masa. Begitu juga dengan kes jangkitan membabitkan seorang pekerja pelabuhan baru-baru ini yang didapati tidak berpunca daripada mana-mana kes di New Zealand. Berkemungkinan beliau dijangkiti oleh kru kapal kargo.

"Teknologi itu jelas sangat kritikal dalam mencari punca jangkitan," katanya pada sesi persidangan maya E-Nation bertajuk Protecting the World from Future Pandemics di sini, tadi.

Penasihat Khas kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, sebagai moderator pada program anjuran Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).

Clark berkata, pengesanan kontak rapat Covid-19 di negara itu masih sama dengan kaedah pengesanan yang digunapakai pada era 1990-an iaitu melalui pengesanan mereka yang ditemui oleh pesakit.

Beliau berkata, kerajaan negara itu juga menggunakan aplikasi pengesanan dan mewajibkan semua premis termasuk lapangan terbang dan pejabat kerajaan untuk menggunakannya bagi tujuan pengesanan manakala individu yang tidak memilik telefon bimbit yang berupaya memuatnaik aplikasi itu perlu merekodkan maklumat mereka secara manual.

Katanya, New Zealand sedang melihat kepada penggunaan teknologi 'bluetooth' untuk tujuan pengesanan dan data yang dikutip hanya akan disimpan selama tiga minggu saja.

Sementara itu, Clark berkata, New Zealand seperti juga Malaysia, bergantung kepada industri pelancongan termasuk kemasukan pelajar asing, dan kini berdepan kehilangan 25 peratus daripada pendapatan yang disumbangkan oleh industri itu.

Justeru, beliau berkata, kerajaan New Zealand perlu melihat kepada punca pendapatan lain bagi mengisi kekurangan itu.

Katanya, pelancongan tempatan di New Zealand menyumbang sebanyak 58 peratus daripada keseluruhan sektor itu manakala 42 peratus lagi datang daripada pelancongan antarabangsa terutama dari Australia.

"Kami berharap untuk mewujudkan gelembung perjalanan dengan Australia kerana negara itu juga mendapat faedah dariapda pelancong New Zealand yang berkunjung ke sana. Ia mungkin boleh dicapai apabila kes Covid-19 di Australia juga semakin berkurangan.

"Kami juga perlu melihat negara selatan Pasifik yang bergantung kepada pelancongan dan berhasrat untuk mempunyai gelembung perjalanan dengan New Zealand namun kami perlu memastikan tidak membawa dan menjangkiti mereka dengan Covid-19," katanya.

Clark berkata, New Zealand juga berkemungkinan menerima pelancong dan pelajar asing suatu hari nanti jika mereka tidak keberatan untuk membayar kos kuarantin terutama mereka yang akan berada di negara itu bagi jangka masa panjang.

Beliau berkata, pelancongan tempatan juga semakin meningkat kerana kini mereka sudah tidak boleh keluar negara.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 4:11 PM