GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Rakyat Malaysia bekerja di Singapura dikesan menghadapi tekanan perasaan berikutan ada majikan yang tidak membenarkan mereka pulang bercuti ke negara ini.

Pengerusi Pertubuhan Petugas Khas Pekerja Malaysia-Malaysia (Pemas) S Dayalan berkata, ramai rakyat Malaysia yang mengadu mereka diberi kata dua sama ada meletak jawatan sekiranya mahu pulang atau melupakan sahaja hasrat untuk bercuti.

Katanya, aduan berkenaan dibuat ketika ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, kini dikatakan mengalami kemurungan dan tekanan melampau, apatah lagi ada yang tidak pulang sejak Mac lalu berikutan penutupan sempadan antara kedua negara akibat pandemik Covid-19.

"Pemas terima ratusan panggilan dan mesej menerusi WhatsApp setiap hari yang meminta bantuan berikutan terdapat majikan menghalang mereka bercuti seketika bagi bertemu keluarga di negara ini, namun kami tidak dapat berbuat apa-apa kecuali memberi kata semangat supaya bersabar.

"Ada yang mahu bercuti untuk melangsungkan perkahwinan dan rindukan keluarga, namun tidak dibenarkan majikan. Pekerja hanya dibenarkan bercuti jika jatuh sakit atau pun ahli keluarga meninggal sahaja, jika mereka berkeras, mereka akan diminta meletak jawatan," katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas isu tekanan perasaan dan dilema yang dihadapi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, susulan penutupan sempadan sejak Mac lalu.

Dayalan berkata, walaupun pekerja terbabit boleh membuat aduan rasmi kepada Kementerian Sumber Manusia Singapura, kebanyakannya bimbang dibuang kerja atau disenarai hitam jika aduan mereka diketahui nanti.

"Faktor itu menyebabkan ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura mengalami kemurungan, tertekan dan patah semangat namun tidak mempunyai pilihan lain selain terus bekerja kerana kebanyakannya mempunyai komitmen yang tinggi di Malaysia.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, rakyat yang berada di Singapura tidak pernah dihalang pulang ke Malaysia dan mereka boleh pulang pada bila-bila masa.

Ismail Sabri dilaporkan berkata, rakyat tempatan yang berada di sana tidak pernah dihalang untuk kembali ke tanah air seperti diumumkan kerajaan sebelum ini.

"Kita menerima aduan seolah-olah ada rakyat yang ingin kembali dari Singapura tetapi mereka tidak dibenarkan," katanya.

Mengulas lanjut, Dayalan berkata, ada sebilangan rakyat Malaysia bekerja di Singapura turut mengambil langkah meletak jawatan dan memutuskan kembali ke negara ini, selepas memikirkan keluarga dan kesihatan mental lebih utama.

"Namun, bagi yang tidak mempunyai pilihan kerana perlu menanggung keluarga dan mempunyai komitmen besar, mereka sangat risau jika berhenti kerja di saat wabak Covid-19 menjejaskan pelbagai sektor pekerjaan.

"Ada pula mahu pulang bercuti dan mengikuti skim Peraturan Ulang-Alik Berkala (PCA), namun terpaksa berfikir banyak kali dari segi kemampuan, kerana perlu membayar kos besar untuk kuarantin di Malaysia dan kos kuarantin di Singapura, apabila kembali nanti," katanya.

Beliau berkata, ramai juga warganet yang mempertikai tekanan perasaan dialami rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, dengan membandingkan ada rakyat Malaysia bekerja dan belajar di luar negara yang bertahun-tahun tidak pulang bertemu keluarga.

"Ia situasi berbeza. Rakyat Malaysia bekerja di Singapura hampir kesemuanya berulang-alik setiap hari sebelum penutupan sempadan.

"Kebanyakan mereka hanya membayangkan penutupan sempadan tidak selama seperti yang berlaku sekarang. Mereka tidak bersedia dari segi mental.

"Apabila terpaksa tinggal di negara asing tanpa bertemu keluarga dan insan disayangi berbulan-bulan lamanya, ia menyebabkan jiwa mereka kosong, tertekan dan bertukar menjadi kemurungan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 6:37 PM