GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Melvin Joni


Padawan: Seorang lelaki tempatan ditahan di sebuah rumah di Jalan Matang - Batu Kawa di sini, semalam, selepas cuba merasuah anggota polis bagi melepaskan dirinya daripada tindakan undang-undang kerana terbabit dengan perjudian dalam talian.

Lelaki itu menawarkan wang berjumlah RM18,500 sebagai dorongan untuk membebaskan dirinya daripada jenayah itu, selain mahu mengelak tujuh lelaki dan tiga wanita yang bekerja dengannya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, kesemua suspek berusia antara 21 hingga 50 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan pada 5.30 petang.

Katanya, semua warga asing yang bekerja dengan lelaki itu diberi gaji sebanyak RM1,500 sebulan serta dibekalkan telefon pintar dan komputer untuk mengendalikan perjudian dalam talian.

"Modus operandi yang digunakan adalah dengan beroperasi di dalam rumah bagi mengaburi mata pihak berkuasa sejak lebih kurang enam bulan lalu dan dianggarkan mengaut keuntungan kasar mencecah RM8,000 sehari.

"Polis merampas lima komputer, sembilan telefon pintar pelbagai jenama dan peralatan lain yang digunakan untuk menjalankan kegiatan berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala kes rasuah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 4:41 PM