JAMBATAN Angkat (Drawbridge) Kuala Terengganu. FOTO arkib NSTP
JAMBATAN Angkat (Drawbridge) Kuala Terengganu. FOTO arkib NSTP
Zaid Salim

Kuala Terengganu: Gelombang ketiga pandemik Covid-19 yang kembali menular negara akhir September lalu memberi kesan kepada sektor pelancongan Terengganu dengan penyusutan kemasukan pelancong sebanyak 20 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan Dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, penurunan itu ekoran daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan Lembah Kelang, Putrajaya dan Selangor yang berkuat kuasa 14 Oktober lalu.

"PKPB di Lembah Klang memberi tempias kerana sebahagian besar pelancong adalah dari Lembah Klang yang terpaksa membatal atau menangguhkan perjalanan mereka untuk bercuti di negeri ini.

"Ini menyebabkan sebahagian hotel dan resort di Terengganu menerima pembatalan dan penangguhan tempahan sepanjang tempoh ini," katanya selepas mengikut rombongan menelusuri Sungai Terengganu, di sini, hari ini.

Katanya, pengurangan jumlah pelancong turut dipengaruhi penutupan sebahagian hotel dan resort di pulau peranginan di sekitar negeri ini ekoran peralihan monsun Timur Laut.

"Pengurangan bilangan pelancong ini bagaimanapun masih tidak menjejaskan kedudukan Terengganu sebagai antara destinasi pelancong paling dikunjungi pada masa ini.

"Berdasarkan data terkini yang dikeluarkan Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Terengganu kini berada di tangga ketiga kadar penginapan hotel dan inap desa tertinggi di negara ini selepas Pahang dan Perak.

"Kesan penurunan ini tidak begitu ketara kerana sebelum ini, Terengganu berada di tangga kedua," katanya.

Ariffin berkata, sektor pelancongan dijangka dapat kembali pulih menjelang Mac 2021 selepas negara berkemungkinan menerima vaksin Covid-19 pada awal tahun hadapan.

Katanya, Jabatan Pelancongan negeri dengan kerjasama Lembaga Muzium Terengganu kini sedang mengkaji pakej baharu menelusuri Sungai Terengganu sebagai produk baru.

Antara tempat bersejarah yang bakal diperkenalkan seperti rumah Abdul Rahman Limbong di Kampung Beladau Kolam dan makam Tokku Pulau Manis di Kampung Pulau Manis, Serada yang terdapat di sepanjang tebing Sungai Terengganu.

Manakala destinasi menarik yang akan diperkenalkan menerusi pakej menelusuri Sungai Terengganu antaranya Dataran Banggol Chempedak dan Kalang Warisan Pulau Manis.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 3:32 PM