ORANG ramai mendapatkan bekalan air melalui pili awam disediakan Air Selangor di Bulatan AU2, Taman Keramat, Kuala Lumpur. FOTO FATHIL ASRI.
ORANG ramai mendapatkan bekalan air melalui pili awam disediakan Air Selangor di Bulatan AU2, Taman Keramat, Kuala Lumpur. FOTO FATHIL ASRI.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sebanyak 13 peratus daripada 1,292 kawasan terbabit dengan gangguan bekalan air tidak berjadual semalam sudah menerima bekalan air sepenuhnya pada 9 pagi hari ini.

Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), jumlah itu membabitkan 162 kawasan terjejas ekoran henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang berikutan pencemaran, semalam.

"Sehingga kini, 1,130 kawasan di wilayah terjejas masih lagi dalam proses pemulihan.

"Pengguna dinasihatkan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar bagi kawasan belum menerima bekalan dan mengikut jadual pelan pemulihan bekalan air," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Air Selangor terus menggerakkan 121 lori tangki air ke premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis serta kawasan perumahan terjejas.

"Pengguna boleh mendapatkan bantuan bekalan air melalui pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang disediakan untuk kemudahan pengguna semasa tempoh pemulihan bekalan air.

"Pengguna boleh merujuk senarai pili awam dan PKS di laman sesawang www.airselangor.com.," katanya.

Pihaknya menasihatkan pengguna agar mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air dari lori tangki, PKS dan pili awam.

Katanya, Air Selangor akan memaklumkan status pemulihan bekalan air dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi rasmi iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Intagram Air Selangor dan laman sesawang http://www.airselangor.com.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 11:08 AM