Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima 4,794 pendaftaran daripada individu berminat untuk menjadi sukarelawan bagi membantu menangani krisis Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya sedang mempergiatkan pembabitan lebih ramai sukarelawan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu.

"Bilangan maklum balas diterima daripada pihak yang berminat adalah amat memberangsangkan dengan 4,794 pendaftaran diterima setakat ini dan ia masih dalam proses saringan.

"Pada masa sama, dua NGO menghantar 15 anggota mereka ke Sabah setakat ini. Lebih ramai sukarelawan diseru untuk bersama-sama membantu KKM dalam usaha sama ini," katanya pada sidang media hari ini.

SEBAHAGIAN daripada aktiviti dijalankan oleh sukarelawan perubatan MERCY Malaysia di zon merah pandemik Covid-19 di Lahad Datu, Sabah. FOTO Ihsan Mercy Malaysia
SEBAHAGIAN daripada aktiviti dijalankan oleh sukarelawan perubatan MERCY Malaysia di zon merah pandemik Covid-19 di Lahad Datu, Sabah. FOTO Ihsan Mercy Malaysia

Dr Noor Hisham berkata, 767 anggota perubatan dan kesihatan awam KKM daripada pelbagai kategori dan skim perkhidmatan digerakkan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna, Sandakan dan Kota Kinabalu secara dalaman negeri di Sabah dan juga dari negeri-negeri lain.

"Lebih ramai anggota akan dihantar nanti dengan 99 petugas akan bertolak ke Sabah pada minggu ini dan minggu hadapan membabitkan 36 petugas kesihatan awam dan 63 petugas perubatan.

"KKM juga akan menjalankan lantikan secara kontrak bagi 1,899 petugas kesihatan tertakluk kepada kelulusan agensi pusat yang dimobilisasikan bagi kegunaan di negeri-negeri yang memerlukan khususnya di Sabah.

"Pada masa sama, penyumberluaran perkhidmatan perubatan bagi kes-kes bukan Covid-19 juga akan dilakukan. Jabatan Kesihatan Negeri Sabah sudah berbincang dan menandatangani beberapa perjanjian dengan hospital swasta bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan dan rawatan kepada kes bukan Covid-19 tidak terjejas," katanya.


Beliau berkata, pihaknya memandang serius situasi penularan Covid-19 di Sabah sejak awal peningkatan kes di negeri terbabit seperti meningkatkan kapasiti dan mobilisasi aset serta sumber manusia.

"Antara usaha yang dilakukan adalah meningkatkan kapasiti ujian makmal Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan Rapid Test Kit Antigen (RTK- Antigen) dengan kapasiti ujian makmal di Sabah ditingkatkan dua kali ganda.

"Pada Julai lalu, kapasiti ujian RT-PCR di Sabah adalah 1,350 ujian. Kini, ia dipertingkatkan kepada 2,600 ujian RT-PCR sehari. Justeru, penghantaran lebih banyak kit ujian RTK Antigen bermula Oktober ini iaitu sebanyak 100,000 kit ujian RTK Antigen dihantar setiap bulan khususnya ke Sabah untuk membantu saringan di lapangan," katanya.

Penghantaran sampel RT-PCR setiap hari juga dilakukan ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dengan menggunakan perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Pos Laju.

"Selain itu, perkhidmatan penyumberluaran kepada makmal swasta juga dilakukan. Contoh, pada 16 Oktober lalu, 4,327 ujian disumberluarkan kepada makmal swasta supaya lebih banyak saringan dapat terus dijalankan di lapangan," katanya.


  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 8:56 PM