ANTARA pesakit yang bergejala Covid-19 menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu (gambar fail). FOTO Mohd Adam Arinin
ANTARA pesakit yang bergejala Covid-19 menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu (gambar fail). FOTO Mohd Adam Arinin
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meningkatkan kapasiti katil di hospital merawat Covid-19 serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan sembilan hospital merawat Covid-19 dan 21 PKRC di negeri itu.

"Bagi menampung peningkatan jumlah kes di Sabah, jumlah katil hospital Covid-19 dan PKRC ditingkatkan 2.5 kali ganda, iaitu daripada 2,129 katil pada awal September lalu kepada 5,414 katil dengan kadar penggunaan katil pada ketika ini adalah 35 peratus.

"Pada masa sama, penyediaan Hospital Medan (hospital sementara) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau yang akan menempatkan 100 katil bagi kegunaan pesakit bukan Covid-19 membolehkan lebih banyak katil di Hospital Tawau boleh digunakan untuk pesakit Covid-19," katanya pada sidang media harian, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya turut meningkatkan kapasiti katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan alat mesin bantuan pernafasan (ventilator).

"Mesin ventilator dan katil ICU diperoleh bukan sahaja melalui perolehan menggunakan peruntukan khas oleh kerajaan, malah turut diperoleh melalui sumbangan daripada pelbagai pihak.

"Di Sabah, ada 180 mesin ventilator yang disediakan dengan kadar penggunaan adalah sebanyak 32 peratus termasuk juga penggunaan bagi kes-kes bukan Covid-19," katanya.

Beliau berkata, jumlah katil ICU di Sabah ketika ini adalah 122 katil dengan kadar penggunaan adalah 72 peratus termasuk juga penggunaan bagi kes bukan Covid-19.

"KKM menyusun atur semula kawasan klinikal di beberapa fasiliti kesihatan membabitkan kawasan dalam hospital digunakan untuk diubah suai bagi tujuan rawatan pesakit kritikal Covid-19 bagi meningkatkan jumlah katil ICU sedia ada di Sabah.

"Inovasi bagi membolehkan satu mesin ventilator digunakan oleh dua pesakit Covid-19 juga diperkenalkan yang dipanggil ventilator splitter iaitu menggunakan teknologi cetakan 3D yang turut dilaksanakan di beberapa negara lain," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 8:41 PM