SULAIMAN menyerahkan memorandum Jabatan Mufti Melaka kepada Raha sambil diperhatikan Abdul Halim (kiri). FOTO Hassan Omar
SULAIMAN menyerahkan memorandum Jabatan Mufti Melaka kepada Raha sambil diperhatikan Abdul Halim (kiri). FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Alor Gajah: Lazimnya Jabatan Mufti Melaka membantu menentukan arah kiblat di masjid atau surau tetapi kali ini ia menawarkan perkhidmatan itu bagi kediaman.

Dengan caj RM100, umat Islam boleh mendapatkan perlhidmatan penandaan arah kiblat dengan tepat oleh pegawai Jabatan Mufti.

Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, perkhidmatan itu bertujuan memastikan umat Islam di negeri ini menunaikan solat dengan arah kiblat yang tepat ke Baitullah di Masjidil Haram, Makkah.

"Alhamdulillah, kita sediakan perkhidmatan itu tanpa sebarang bayaran demi kesejahteraan ibadat umat Islam di negeri ini.

"Sebelum ini kita hanya membantu hal itu di masjid dan surau, terutama yang baharu hendak dibina," katanya pada sidang media selepas perasmian Galeri Interaktif Planetarium Al-Khawarizmi oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Kompleks Falak al -Khawarizmi, Tanjung Bidara, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Dr Raha Abdul Rahim.

Galeri berkenaan menggunakan teknologi realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR) bagi memberikan pengalaman berada dalam dunia astonomi sebenar kepada pengunjung.

Jabatan Mufti Melaka yang mentadbir kompleks berkenaan bekerjasama dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi menyediakan teknologi berkenaan.

Abdul Halim juga berkata, jabatan itu dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bekerjasama bagi memajukan industri pelancongan agama sebagai industri pelancongan ke-14 di negeri ini.

Katanya, selain Kompleks Falak al-Khawarizmi yang memiliki pelbagai kelengkapan berkaitan astronomi, pelbagai aspek lain berkaitan agama yang mempunyai kesan sejarah harus dimajukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 12:51 PM