Foto hiasan
Foto hiasan
Abdul Rahemang Taiming

Kunak: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak Norazlinah Arif hari ini memaklumkan beliau disahkan positif Covid-19.

Menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya, bekas Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat itu menjelaskan beliau kini menjalani rawatan dan kuarantin di sebuah hospital di Kota Kinabalu.

"Salam semua keluarga Kunak dan rakan taulan yang dikasihi.

"Adalah dimaklumkan bahawa YB Puan Norazlinah Hj Arif selepas melalui ujian Covid-19 yang kedua sudah disahkan positif dan kini menjalani kuarantin dan rawatan di sebuah hospital di Kota Kinabalu," katanya.

Tambahnya lagi, beliau sebelum ini ada menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari selepas menjadi kontak rapat kepada ahli keluarganya yang positif pandemik itu namun pulih sepenuhnya.

Menurutnya, selain tiada sebarang simptom Covid-19, beliau kini secara zahirnya berada dalam keadaan stabil dan memohon agar dikurniakan kesembuhan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, Norazlinah yang mewakili WARISAN memenangi kerusi DUN Kunak selepas menewaskan lima calon lain dengan majoriti 589 undi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 9:39 PM