ISMASUHAIMI Sharif (dua kanan) , menunjukkan gambar kenderaan yang beroperasi tanpa Permit Kenderaan e-hailing (eVP) dan kenderaan yang membawa muatan bahaya. FOTO Noorazura Abdul Rahman
ISMASUHAIMI Sharif (dua kanan) , menunjukkan gambar kenderaan yang beroperasi tanpa Permit Kenderaan e-hailing (eVP) dan kenderaan yang membawa muatan bahaya. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Sebanyak 10 kenderaan perkhidmatan e-hailing milik sebuah syarikat dikesan beroperasi tanpa Permit Kenderaan e-hailing (eVP) di beberapa lokasi di negeri ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Ismasuhaimi Shariff berkata, kegiatan pemandu berkenaan dikesan melalui penyamaran dilakukan anggota JPJ pada Ops Khas 12 dan 13 Oktober lalu.

"Kita melakukan penyamaran terhadap 15 kenderaan yang beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LSAH) serta sekitar Kulim dan Sungai Petani.

"Pemeriksaan mendapati hanya lima kenderaan mempunyai eVP, manakala 10 tidak mempunyai permit menyebabkan pemandunya diambil tindakan mengikut Seksyen 16(1) Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan Seksyen 80(1) APAD 2010," katanya pada sidang media di Pejabat JPJ Kedah di sini, hari ini.

Ismasuhaimi berkata, kenderaan pemandu berusia antara 30 hingga 60 tahun yang melakukan perkhidmatan secara sambilan itu turut disita.

Katanya, kebanyakan mereka memberi alasan tidak tahu perlu mempunyai permit kerana boleh menerima tempahan pelanggan sebaik memuat turun aplikasi berkenaan.

"Jadi dalam isu ini operator syarikat e-hailing bertanggungjawab memastikan pemandu mereka melengkapi syarat sebelum memulakan operasi.

"Kenderaan pemandu yang disita akan diserah kembali selepas selesai siasatan, tujuan kita bukan untuk membebankan mereka kerana kita tahu mereka memerlukan kenderaan ini untuk aktiviti harian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 3:36 PM