Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
Ramli Ibrahim

Gua Musang: "Lapan anak saya sama-sama bertanggungjawab menjaga ibunya yang sakit sejak enam tahun lalu sehinggalah sekarang," kata Aziz Abdullah.

Suami kepada Noraini Ismail, 55, itu ketika menghubungi Harian Metro berkata, dia berharap kisah pengorbanan anak perempuannya yang enggan menyambung pengajian kerana ingin menjaga ibunya yang mengalami kanser otak tidak disalah anggap.

Dia yang tinggal di Kampung Limau Kasturi 2, dekat sini, berkata, isterinya juga selalu dijaga oleh lapan anaknya malah mereka kerap dibawa ke Kuala Lumpur.

"Janganlah netizen salah faham mengenai perkara itu dan saya juga terima dengan hati terbuka anak saya (Nur Syuhadah, 24) terpaksa lupakan hasratnya untuk menyambung pengajiannya," katanya.

Dalam portal Harian Metro semalam ada menyebut Nur Syuhadah terpaksa membuat keputusan itu kerana ingin menjaga ibunya.

Dia tidak kisah terpaksa bergadai masa depannya asalkan dapat berkorban masa menjaga ibunya yang sakit.

Nur Syuhadah mengakui terpaksa menolak dua tawaran melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi kerana tidak mahu berpisah dengan ibunya itu.

Dia sebelum ini pernah menerima tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Menurut Aziz, dirinya berharap tidak timbul salah faham berhubung pengorbanan keluarganya itu untuk menjaga isterinya yang sedang sakit.

"Saya harap salah faham itu tidak berlaku dan sama-sama memahami isteri saya sedang sakit serta memerlukan perhatian dan penjagaan semua anak," katanya.

Berita berkaitan

Tolak dua tawaran ke universiti demi ibu

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 11:24 PM