MANGSA sampan karam, Ab Rahman bersama ahli keluarga selepas dilaporkan hilang ketika merawai di perairan Batu Laut,Tanjung Sepat Khamis lalu. FOTO Ihsan keluarga
MANGSA sampan karam, Ab Rahman bersama ahli keluarga selepas dilaporkan hilang ketika merawai di perairan Batu Laut,Tanjung Sepat Khamis lalu. FOTO Ihsan keluarga
Samadi Ahmad

Kuala Langat: "Saya sepatutnya menjemput abah untuk datang ke rumah di Sendayan, Negeri Sembilan semalam bagi menghadiri majlis perkahwinan adik ipar hari ini.

"Namun, kami terkejut apabila dimaklumkan abah hilang di laut ketika menangkap ikan," kata Aminah Ab Rahman, 44, anak sulung nelayan yang hilang ketika merawai ikan di perairan Batu Laut, Tanjung Sepat, kelmarin.

Aminah berkata, dia menyatakan hasrat membawa ayahnya tinggal beberapa hari di rumahnya bagi menghadiri majlis berkenaan ketika menziarahinya di Kampung Kundang, Tanjung Sepat, akhir bulan lalu.

Menurutnya, ketika itu ayahnya kelihatan sihat dan memaklumkan sudah lama tidak ke laut serta berhasrat turun semula untuk merawai ikan.

"Saya cuma nasihatkan abah supaya tidak turun ke laut kerana usianya sudah semakin meningkat, selain bimbang keselamatan abahnya di laut sekiranya keluar bersendirian.

"Pada pertemuan itu ayah tidak memberikan jawapan sama ada akan mengikut saya pada tarikh dinyatakan atau sebaliknya, tetapi hanya memberi jawapan 'nanti la abah bagi tahu'," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Khamis lalu, Harian Metro melaporkan nelayan, Ab Rahman Mat Kassim, 66, hilang selepas sampan dinaiki bersama anaknya Faizal, 40, karam di perairan Batu Laut, Tanjung Sepat ketika merawai ikan.

Bagaimanapun, anaknya berjaya diselamatkan sekumpulan pemancing selepas kira-kira tujuh jam terapung di laut dengan berpaut pada pelampung jaring.

Faizal kini sedang menerima rawatan di Hospital Banting dan dalam keadaan stabil, namun masih trauma.

AB Rahman. FOTO Ihsan keluarga
AB Rahman. FOTO Ihsan keluarga

Aminah berkata, ketika pertemuan terakhir itu ayahnya tidak menunjukkan sebarang tanda atau perubahan kerana dia seorang pendiam.

"Sebagai anak sulung saya sangat rapat dengan abah. Sepanjang dua hari ini kami sekeluarga sentiasa berdoa dan mengadakan solat hajat dengan bantuan penduduk kampung supaya abah ditemui dalam masa terdekat.

"Kami sekeluarga reda dengan apa juga yang berlaku dan berharap abah dapat ditemui segera," katanya yang mempunyai lima adik beradik.

Menurutnya, dia dan adik beradik sering menziarahi dan menghubungi ayahnya untuk bertanya khabar kerana dia tinggal bersendirian di kampung sejak ibu meninggal dunia 16 tahun lalu.

Sementara itu, operasi mencari menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua hari ini masih diteruskan membabitkan anggota bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), polis, nelayan dan penduduk kampung dengan bantuan tujuh bot.

Berita berkaitan

  • 2 bot karam, 3 selamat, 4 hilang

  • Suara meminta tolong dari laut
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 3:04 PM