Penduduk  menunaikan solat hajat di pesisir sungai Kalang Warisan, Kampung Pulau Manis, Serada memohon dilindungi daripada wabak COVID19. Umat Islam di negara ini disarankan melakukan solat hajat bagi menyelamatkan Malaysia daripada dilanda sebarang wabak penyakit khususnya koronavirus yang sedang menular ketika ini. FOTO GHAZALI KORI
Penduduk menunaikan solat hajat di pesisir sungai Kalang Warisan, Kampung Pulau Manis, Serada memohon dilindungi daripada wabak COVID19. Umat Islam di negara ini disarankan melakukan solat hajat bagi menyelamatkan Malaysia daripada dilanda sebarang wabak penyakit khususnya koronavirus yang sedang menular ketika ini. FOTO GHAZALI KORI
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Pusat Rekreasi Kalang Warisan, Pulau Manis, Serada ditutup selama seminggu bagi mengelakkan aktiviti berkumpul beramai-ramai dan berkelah di tempat awam susulan peningkatan kes Covid-19.

Sebelum ini Pusat Rekreasi Kalang Warisan menjadi tular di media sosial selepas dikunjungi lebih 1,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri pada setiap hujung minggu sejak dibuka secara rasmi pada awal Ogos lalu.

Penyelaras Kalang Warisan, Mohd Rafi Kori berkata, pihaknya tiada cara lain untuk menghalang kehadiran pengunjung ke Kalang Warisan selain menutupnya daripada dikunjungi ramai.

"Kami terpaksa tutup Kalang Warisan untuk sementara waktu, jika tidak sukar untuk menghalang kehadiran pengunjung yang terlalu ramai sehingga menjadi sesak.

"Malah keputusan penutupan Kalang Warisan itu juga dibuat kerana menghormati dan meraikan saranan semua pihak termasuk pimpinan di peringkat Kampung Pulau Manis, Serada dalam usaha mencegah penularan Covid-19.

"Sukar untuk mengekalkan penjarakan sosial ketika menjalankan aktiviti di air yang disediakan di Kalang Warisan oleh itu wajar untuk menghentikan dahulu operasi untuk kebaikan bersama," katanya ketika ditemui selepas Majlis Solat Hajat Menghindari Penularan Covid-19 di Pusat Rekreasi Kalang Warisan, Pulau Manis, Serada, di sini, hari ini.

Mohd Rafi berkata, jumlah kehadiran pengunjung sentiasa meningkat dari masa ke semasa.

"Sejak Kalang Warisan menjadi tular di media sosial, lebih 1,000 pengunjung yang datang ke Kalang Warisan.

"Pada hari biasa seramai 300 hingga 400 pengunjung yang datang sehari dan menjalani pelbagai aktiviti disediakan seperti berkayak, memanah, berkelah dan mandi sungai," katanya.

Menurutnya, dia berharap orang ramai terutama pelancong memberi kerjasama dan akur dengan penutupan Pusat Rekreasi Kalang Warisan itu.

"Tangguh dahulu perancangan untuk datang ke Kalang Warisan susulan peningkatan kes Covid-19, selepas keadaan semakin pulih Kalang Warisan akan beroperasi semula seperti biasa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 8:46 PM