GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Safeek Affendy Razali


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan beberapa pegawai kanan polis yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini.

BH melaporkan, setakat ini, beberapa Ketua Polis Daerah (KPD) dan tiga pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah serta seorang pegawai Unit Perjudian (D7) Bukit Aman, ditahan dan dipanggil untuk siasatan lanjut berhubung dakwaan melindungi aktiviti kegiatan perjudian dalam talian yang dikendalikan oleh kartel tempatan sehingga terbabit dalam pengubahan wang haram.

Sumber berkata, SPRM turut memanggil beberapa pegawai kanan dalam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) untuk membantu siasatan serta rakaman percakapan.

"Setakat ini, tujuh pegawai kanan sudah ditahan dan dipanggil untuk siasatan lanjut berhubung kegiatan pengubahan wang haram hasil daripada aktiviti judi dalam talian.

"Pada masa ini, proses mengesan saki-baki yang lain bagi membantu siasatan masih diteruskan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, nama-nama sebahagian pegawai dan anggota ini diperoleh daripada siasatan awal terhadap seorang lelaki yang dipercayai mendalangi aktiviti judi dalam talian bersama orang kanannya bergelar Datuk.

Mereka ditahan pada Sabtu dan Ahad lalu hasil siasatan ke atas beberapa selebriti, personaliti terkenal dan usahawan yang menjalankan perniagaan dengan wang hasil daripada aktiviti judi dalam talian dan aktiviti penipuan Macau Scam.

Pada masa ini BH masih mendapatkan pengesahan serbuan dan tangkapan berkenaan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

Semalam, Azam mengesahkan penahanan 20 individu berdasarkan siasatan ke atas kes pengubahan wang haram termasuk membabitkan lapan pegawai polis.

Beliau turut mengesahkan akan melakukan tangkapan lain ke atas mereka yang disyaki terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 8:09 PM