LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memulakan siasatan dalaman merangkumi pelbagai aspek terhadap semua pegawai dan anggota polis yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disyaki terbabit dalam sindiket 'cuci duit'.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata, siasatan pihaknya dalam isu ini lebih kepada aspek pelanggaran peraturan, tata kelakuan dan disiplin mereka sebagai pegawai dan anggota polis.

Beliau berkata, kesemua lapan pegawai dan anggota polis yang ditahan disyaki menyalah guna kuasa melindungi sindiket itu serta menerima habuan dalam bentuk wang ringgit dan lain-lain.

"Selain itu, JIPS juga akan menyiasat dan meneliti gaya hidup dan pemilikan aset mereka sama ada setimpal atau tidak dengan pangkat serta jawatan mereka.

"Polis akan mengambil perhatian serius terhadap pembabitan pegawai berkenaan dengan sindiket terbabit," katanya kepada Bernama hari ini.

Zamri berkata, pihaknya akan mengenakan tindakan tata tertib tegas kepada mereka yang melakukan pelanggaran peraturan dan disiplin pasukan PDRM.

Semalam, media melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya mengesan ratusan syarikat 'dummy' yang diwujudkan bagi mengaburi mata pihak berkuasa berhubung sindiket berkenaan.

Kesemua ratusan syarikat yang dikesan SPRM itu sengaja diwujudkan bagi menyalurkan wang haram sindiket terbabit.

Selain itu, SPRM membekukan 730 akaun bank bernilai RM80 juta disyaki akaun sindiket berkenaan dan menyita 23 kenderaan mewah pelbagai jenis antaranya (Ford) Mustang, Rolls Royce, Bentley, Ferrari dan Porshe serta beberapa motosikal berkuasa besar dimiliki ahli sindiket dipercayai hasil kegiatan haram.

Sebelum ini, SPRM memanggil pasangan artis untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 5:10 PM