ANGGOTA polis memastikan orang ramai mematuhi SOP di Pasar Payang, Kuala Terengganu, Ogos lalu. FOTO arkib NSTP
ANGGOTA polis memastikan orang ramai mematuhi SOP di Pasar Payang, Kuala Terengganu, Ogos lalu. FOTO arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Polis Terengganu mengaktifkan 93 pasukan pemantau bermula semalam bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negeri ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Roslee Chik berkata, pasukan dengan kekuatan 554 orang itu digerakkan di seluruh daerah untuk melakukan pemantauan secara berkala termasuk di kawasan tumpuan awam.

Beliau berkata, pihaknya juga akan melakukan sekatan jalan raya secara bergerak membabitkan beberapa lokasi.

"Pasukan pemantau ini turut membabitkan kenderaan peronda bagi mencegah penyeludupan manusia, barangan serta dadah.

"Tujuan kita menggerakkan semula pasukan ini bagi mengekang penularan wabak ini dan memantau pematuhan SOP dalam kalangan masyarakat ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya ketika dihubungi di sini.

Roslee berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar SOP yang ditetapkan.

Katanya, kompaun akan dikeluarkan serta merta kepada mereka yang gagal mematuhi arahan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 12:24 PM