Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Hasil karya kaligrafi khat jawi masih lagi dekat di hati masyarakat Melayu namun pembeli daripada golongan ini tidak meningkat.

Pensyarah Kanan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Ainun Jariah Yaacob berkata, masyarakat Melayu yang sepatutnya menyokong karya kaligrafi jawi ini juga ramai yang berpendapatan rendah dan tidak mampu untuk membelinya.

"Kemahiran menulis kaligrafi khat dengan sempurna mengambil masa agak lama serta sukar dan kerana itu ia tidak patut jika dijual dengan harga murah.

"Untuk pameran kali ini, kami tidak meletakkan sasaran jualan terlalu tinggi disebabkan memahami kekangan kewangan dihadapi rakyat Malaysia berikutan pandemik Covid-19.

"Jika separuh daripada 38 karya yang dipamerkan kali ini berjaya dijual, itu sudah cukup membanggakan," katanya ketika ditemui di Pameran Jawi Jiwa Bangsa bertempat di Galeri Wisma Budi, di sini, hari ini.

AINUN Jariah antara pengkarya yang terlibat dalam Pameran Jawi Jiwa Bangsa di Galeri Wisma Budi. FOTO Nurul Amelia Ishak
AINUN Jariah antara pengkarya yang terlibat dalam Pameran Jawi Jiwa Bangsa di Galeri Wisma Budi. FOTO Nurul Amelia Ishak

Ainun Jariah yang turut mempamerkan tiga karya berkata, pameran kali ini menjadi satu harapan besar buatnya untuk memartabat bahasa jawi dalam kalangan masyarakat umum.

"Walaupun ada isu sebelum ini mengenai bahasa jawi namun saya mahu menekankan bahawa jawi ini bukan hanya simbol agama Islam semata-mata.

"Jawi itu adalah tulisan dan lambang sejarah bagi orang Melayu sebelum tulisan rumi diperkenalkan sama seperti tulisan cina," katanya.

PENGASAS Qalam Warisan dan pengkarya, Ahmad Rajaei. FOTO Nurul Amelia Ishak
PENGASAS Qalam Warisan dan pengkarya, Ahmad Rajaei. FOTO Nurul Amelia Ishak

Sementara itu, Ketua Pameran, Muhammad Shafiee Abdullah, 49, berkata, tema kali ini mengetengahkan perjuangan jawi di persada rakyat Malaysia dengan menyuntik nafas baru dalam setiap karya.

"Setiap karya yang dihasilkan kali ini unik kerana menggabungkan tulisan khat jawi dengan bacaan bahasa Melayu yang mudah difahami umum.

"Karya yang dihasilkan juga menggabungkan seni kaligrafi jawi dan kesenian Melayu seperti batik, adat, peribahasa dan sejarahnya," katanya.

Tambahnya, pameran akan berlangsung sehingga 3 November ini dan ia juga boleh ditonton secara langsung melalui Facebook Persatuan Seni Khat Kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 8:10 PM