ABDUL AZEEZ ABDUL RAHIM
ABDUL AZEEZ ABDUL RAHIM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan seorang doktor perubatan hari ini berjaya membatalkan kebenaran diperoleh balu penyiasat persendirian P. Balasubramaniam bagi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap mereka.

Muhammad Shafee memberitahu pemberita bahawa Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Quay Chew Soon membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan tersebut di dalam kamar.

"Mahkamah membenarkan permohonan itu atas alasan, dakwaan ahli perniagaan J.R.Deepak Jaikishan dalam afidavit berhubung penghinaan ini tidak boleh dipercayai," katanya.

Muhammad Shafee berkata mahkamah juga memerintahkan pemohon, A.Santamil Selvi, membayar kos RM5,000 masing-masing kepadanya, Abdul Azeez dan Dr S.Ganesanathan.

Santamil memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Muhammad Shafee, Abdul Azeez dan Ganesanathan pada 31 Oktober 2018 dan mahkamah pada 30 April 2019 membenarkan permohonan wanita itu manakala ketiga-tiga responden memfailkan permohonan bagi membatalkan kebenaran itu pada 12 Julai 2019.

Wanita itu memfailkan permohonan tersebut atas alasan kesemua responden didakwa menghalang Deepak daripada disoal balas berhubung afidavit difailkan ahli perniagaan tersebut bersama penyataan pembelaannya dalam kes saman dikemukakan Santamil.

Santamil mendakwa Muhammad Shafee, yang sebelum ini mewakili Deepak dalam kes saman tersebut, dengan sengaja dan secara palsu memaklumkan kepada mahkamah bahawa Deepak tidak dapat hadir untuk disoal balas kerana sakit dan sesalinan laporan perubatan dari sebuah hospital kerajaan dikemukakan kepada mahkamah.

Prosiding itu yang sepatutnya berlangsung pada 19 Mac 2018 ditangguhkan ke 27 Mac tahun sama.

Namun, pada 27 Mac 2018, pemeriksaan balas ke atas Deepak ditangguhkan sekali lagi ke 13 April 2018 berikutan Muhammad Shafee mengemukakan sesalinan laporan perubatan disediakan oleh responden ketiga (doktor) untuk menangguhkan prosiding berkenaan.

Santamil juga mendakwa prosiding pada 13 April juga ditangguhkan selepas Muhammad Shafee memaklumkan kepada mahkamah bahawa Deepak tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan.

Wanita itu mendakwa Deepak ada membuat laporan polis yang menyatakan bahawa ketiga-tiga responden bersekongkol antara satu sama lain untuk menghalangnya (Deepak) daripada menghadiri prosiding mahkamah dengan mengemukakan laporan perubatan palsu.

Dalam afidavit yang difailkan bersama permohonan itu, Santamil mendakwa Deepak dipaksa supaya tidak hadir ke mahkamah untuk disoal balas dan dihalang daripada memberitahu perkara sebenar mengenai pembabitan Datuk Seri Najib Razak, yang sebelum ini dinamakan sebagai defendan dalam kes saman tersebut.

Pada 23 Julai 2017, Santamil bersama tiga anaknya iaitu Kishen, Menaga dan Reeshi memfailkan saman kedua bagi pihak mendiang dengan menamakan sembilan individu sebagai defendan iaitu Deepak, Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, adik-beradik Najib, Datuk Mohd Nazim dan Datuk Ahmad Johari, peguam Tan Sri Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Arulampalam Mariampillai serta Pesuruhjaya Sumpah, Zainal Abidin Muhayat.

Saman berkenaan difailkan Santamil bersama tiga anaknya bagi menuntut kerugian yang ditanggung mereka sepanjang berada di Chennai, India selama 56 bulan bermula 4 Julai 2008 selepas pendedahan P.I. Bala dalam akuan bersumpah keduanya dalam kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

P.I. Bala adalah saksi utama dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya pada 2006.

P.I. Bala meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Mac 2013, beberapa minggu selepas pulang dari India.

Pada 30 Januari 2018, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan yang dibuat lapan defendan kecuali Deepak untuk membatalkan saman berkenaan, bagaimanapun defendan berjaya dalam dalam rayuan mereka selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 9:13 PM