LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Polis akan mengambil tindakan terhadap mana-mana kumpulan atau pertubuhan yang menyuburkan fahaman militan kerana ia mengancam keselamatan negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, semua kumpulan yang bersifat pelampau pasti akan dipantau oleh polis.

"Mana-mana pertubuhan atau kumpulan individu yang menyuburkan fahaman militan pasti pasti akan diambil tindakan undang-undang.

"Apa perlunya latihan bersenjata sedangkan negara kita sudah mempunyai angkatan tentera dan polis untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman negara," katanya kepada Harian Metro menerusi kiriman WhatsApp.

Semalam, Metro Ahad melaporkan kumpulan dikenali Hizbut Tahrir mewajibkan semua umat Islam yang mempunyai anak lelaki berusia 15 tahun ke atas untuk mengikuti latihan bersenjata sebagai satu daripada fardu kifayah.

Perkara berkenaan dijelaskan menerusi kandungan perlembagaan pertubuhan Hizbut Tahrir dunia termasuk menolak semua sistem demokrasi.

Menerusi Artikel 56, Draf Perlembagaan Hizbut Tahrir, ia memberi gambaran jelas berhubung cita-cita mereka, malah kumpulan itu dibimbangi akan menjadi ancaman keselamatan kepada negara.

Pertubuhan berkenaan sudah diharamkan di beberapa negara antaranya Mesir, Indonesia dan Arab Saudi.

Sementara itu, Pakar Kajian Strategik dan Anti Keganasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Madya Dr Mohd Mizan Mohd Aslam mencadangkan kepada pihak berkuasa supaya menyemak semula senarai daftar kumpulan keganasan di negara ini.

Menurutnya, ia berikutan wujud kumpulan tertentu yang mempunyai kecenderungan sama seperti Daish dan ia langkah perlu untuk mengelakkan ancaman masa depan.

"Kita lihat pada hari ini memang ada kumpulan tertentu yang mempunyai elemen berkenaan dan kita bimbang jika tiada langkah awal, ia akan menjadi satu ancaman besar seperti Daish," katanya.

Berita berkaitan

  • Wajib ikut latihan bersenjata
  • Polis Selangor dan JAIS sentiasa pantau Hizbut Tahrir
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 1:25 PM