Plus mengingatkan pelanggan supaya terus mematuhi SOP ditetapkan MKN dan KKM. FOTO ihsan Plus
Plus mengingatkan pelanggan supaya terus mematuhi SOP ditetapkan MKN dan KKM. FOTO ihsan Plus
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Plus Malaysia Berhad (Plus) mengingatkan pelanggannya supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarah Urusan Plus, Datuk Azman Ismail berkata, pelanggan diingatkan untuk memakai pelitup muka dan mematuhi penjarakan fizikal satu meter apabila berada di kawasan awam seperti di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan ketika berinteraksi dengan Pembantu Khidmat Pelanggan Plus di lorong tol.

Melalui satu kenyataan media, beliau berkata, Plus memberikan peringatan itu berikutan peningkatan jumlah jangkitan Covid-19 secara mendadak di seluruh negara sejak kebelakangan ini terutama di negeri di mana rangkaian lebuh raya Plus beroperasi.

"Kami menyeru pelanggan lebuh raya mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Dalam semangat 'Kita Jaga Kita', matlamat kami adalah untuk menjaga semua pelanggan lebuh raya dengan baik.

"Setiap petugas Plus daripada Pembantu Khidmat Pelanggan, anggota PlusRonda sehingga kepada penyelia plaza tol mematuhi sepenuhnya SOP dengan memakai pelitup muka dan memastikan penjarakan fizikal satu meter pada setiap masa ketika berinteraksi dengan pelanggan," katanya.

Azman berkata, pihaknya memohon kerjasama pelanggan supaya mematuhi SOP ini ketika petugas Plus memberikan perkhidmatan kepada mereka di lebuh raya.

"Oleh itu, Plus juga menggunakan pendekatan yang sama. Plus menegaskan bagi semua pihak memainkan peranan dengan mematuhi SOP untuk memastikan keselamatan pelanggan, petugas barisan hadapan kami dan orang ramai yang memasuki lebuh raya selari dengan arahan kerajaan dalam menghadapi wabak ini iaitu #KitaJagaKita," katanya.

Menurutnya, Plus akan memastikan setiap anggota PlusRonda yang berdepan dengan pelanggan diwajibkan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal satu meter ketika hadir memberikan bantuan kepada pelanggan yang terkandas di lebuh raya.

"Selain pemeriksaan suhu badan pelanggan yang wajib dijalankan di setiap R&R dan pengesanan kontak melalui aplikasi MySejahtera, Plus turut memberi penekanan terhadap kebersihan makanan di samping kebersihan di seluruh premis R&R, hentian sebelah dan plaza tol melalui pembersihan rutin dan sanitasi secara berjadual," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 10:53 AM