MUHYIDDIN  mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara berkenaan Covid-19 di Putrajaya. FOTO Bernama
MUHYIDDIN mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara berkenaan Covid-19 di Putrajaya. FOTO Bernama
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Situasi pandemik Covid-19 pada masa ini terkawal dan masih dapat dibendung hasil kerjasama pelbagai agensi serta aktiviti pemantauan kesihatan awam yang berterusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kebanyakan kes yang berlaku adalah dalam kalangan tahanan di dalam penjara, kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) dan daripada kluster yang sudah dikenal pasti serta terkawal.

"Pagi ini, saya mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung pengurusan wabak Covid-19 dan memahami kebimbangan masyarakat berikutan peningkatan kes baharu penularan jangkitan ini.

"Saya ingin memberi jaminan dan komitmen kerajaan untuk terus mengawal serta menguruskan penularan jangkitan virus ini sebaik mungkin. Mesyuarat pagi ini melaporkan bahawa pada 2 Oktober, bilangan kes harian Covid-19 di dalam negara merekodkan 287 kes baharu.

"Daripada jumlah itu, 128 kes dilaporkan di Kedah membabitkan kakitangan dan tahanan di Penjara Alor Setar. Selebihnya pula dilaporkan di Sabah dan beberapa negeri lain di Semenanjung," katanya menerusi satu kiriman Facebook miliknya, hari ini.

Perdana Menteri berkata, pembentangan oleh KKM menunjukkan jumlah kes jangkitan Covid-19 dari Sabah sehingga semalam ialah 139 orang iaitu 1.18 peratus daripada jumlah keseluruhan kes jangkitan Covid-19 di dalam negara.

Beliau berkata, situasi pada masa ini terkawal dan masih dapat dibendung hasil kerjasama pelbagai agensi dan aktiviti pemantauan kesihatan awam yang berterusan.

"Semua kawasan ini dipantau setiap masa dan aktiviti pengesanan kes serta kontak rapat dijalankan secara aktif bagi memastikan kes positif dapat dikesan dan diasingkan.

"Hal ini menyebabkan lebih banyak kes positif Covid-19 dapat dikesan dan menyumbang kepada statistik harian di dalam negara. Saya berharap perkara ini dapat difahami dan saya ingin tekankan di sini bahawa keadaan adalah terkawal dan sedang diuruskan dengan baik oleh agensi kerajaan yang terbabit," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, mesyuarat juga dimaklumkan kes penularan Covid-19 di Sabah didapati berpunca daripada kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) dari negara jiran.

Katanya, kerajaan sudah membuat keputusan semua Pati yang ditahan disaring dan ditempatkan di Pusat Tahanan dan Kuarantin Sementara (PTS) yang disediakan.

"Pada masa ini, PTS di Sabah sudah melebihi kapasiti. Sehubungan itu, kerajaan akan membuka lebih banyak PTS baharu bagi menempatkan Pati yang ditahan sebelum proses pengusiran dilaksanakan.

"Dalam pada itu, petugas KKM juga sudah ditambah untuk menjalankan proses saringan ke atas Pati yang ditahan. Anggota keselamatan negara juga akan ditambah untuk mengawal sempadan negara bagi mengekang kemasukan Pati, khususnya di Sabah.

"Aset-aset akan diatur gerak untuk menghalang cubaan membolosi sempadan negara. Saya juga ingin memberi jaminan bahawa tahap kesiapsiagaan negara adalah pada tahap yang tertinggi dan mampu menghadapi penularan jangkitan Covid-19 seperti yang kita lalui sebelum ini," katanya.

Muhyiddin berkata, negara mempunyai 40 hospital dan 34 Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah untuk merawat kes positif Covid-19 dengan kapasiti 5,674 katil.

Beliau menjelaskan bahawa kadar penggunaan katil di hospital Covid-19 pada masa ini ialah 24 peratus saja dan fasiliti kesihatan kini mempunyai 437 katil Unit Rawatan Rapi (ICU) serta 1,505 alat bantu pernafasan.

"Saya ingin menyeru rakyat supaya bertenang dalam menghadapi situasi penularan Covid-19 pada masa ini. Saya percaya pasukan barisan hadapan negara kita khususnya KKM dan pasukan keselamatan mempunyai kapasiti dan kepakaran untuk menangani situasi ini dengan baik.

"Marilah kita bersama-sama membudayakan norma baharu dan mematuhi semua prosedur standard operasi (SOP) yang sudah ditetapkan oleh pihak berkuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 5:32 PM