Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) melancarkan program MyHackathon 2020 yang memberi fokus kepada pencarian penyelesaian segera menambah baik perkhidmatan terpilih kerajaan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Program diterajui Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) ini antara inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dalam mencipta penyelesaian digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Cradle, Rafiza Ghazali berkata, MYHackathon 2020 diwujudkan untuk usahawan dan bakal usahawan melahirkan dan meraikan semangat tekad menghasilkan idea penyelesaian kreatif bagi membantu menambahbaik perkhidmatan awam, sekaligus meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Katanya, pemenang siri MYHackthon 2020 ini akan menerima geran mengikut kategori yang disediakan.

"MYHackathon 2020 menyediakan ekosistem untuk 'technopreneur' permulaan dan sedia ada mendapat pendedahan, dipupuk serta berkembang dengan sokongan kementerian dan agensi yang mengambil bahagian.

"Mereka yang berumur 18 tahun ke atas boleh berkolaborasi dalam pasukan dua hingga lima orang dan menyertai secara suka-suka bagi menyuarakan idea mereka atau dengan memberi komitmen jangka masa panjang," katanya pada sidang media selepas pelancaran MYHackathon 2020 di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (Mosti), Datuk Dr Ir Siti Hamisah Tapsir.

Rafiza berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima 520 permohonan dan Cradle memperuntukkan dana sebanyak RM15 juta bagi program MyHackathon 2020.

MYHackathon 2020 terbahagi kepada dua kategori iaitu Sprint dan Marathon. Kategori Sprint Ideation terbuka kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas manakala, kategori Marathon pula adalah untuk mereka yang komited untuk melihat perubahan dan menyelesaikan masalah yang sudah dikenal pasti.

Sekiranya peserta dari kategori Marathon ini dipilih sebagai pemenang, mereka akan terus dapat membina penyelesaian dalam masa 12 bulan sehingga mencapai tahap perintis.

Secara keseluruhannya, sepanjang siri MYHackthon 2020 ini, 18 pemenang daripada kategori Sprint bakal memenangi sehingga RM10,000 setiap kumpulan manakala geran bersyarat sebanyak RM250,000 daripada Cradle pula

bakal dimiliki 18 pemenang kategori Marathon.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 2:40 PM
SITI Hamisah melakukan gimik pelancaran MYHackathon 2020. Turut hadir Pengerusi Kumpulan Cradle, Datuk Yvonne Chia (kiri), Rafiza (dua kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar (kanan). FOTO Mohd Yusni Ariffin
SITI Hamisah melakukan gimik pelancaran MYHackathon 2020. Turut hadir Pengerusi Kumpulan Cradle, Datuk Yvonne Chia (kiri), Rafiza (dua kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar (kanan). FOTO Mohd Yusni Ariffin