Penduduk menunjukan parit yang didakwa dicemari bahan buangan daripada kilang berhampiran di Kampung Parit Perak, Sitiawan. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Penduduk menunjukan parit yang didakwa dicemari bahan buangan daripada kilang berhampiran di Kampung Parit Perak, Sitiawan. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Noor Hidayah Tanzizi


Sitiawan: "Sebelum ini tanaman sawit saya boleh mengeluarkan hasil enam hingga tujuh tan, tetapi kini hanya satu hingga dua tan sahaja kerana masalah pencemaran," kata Mohamad Zam Mat Isa, 61.

Mohamad Zam yang juga penduduk tempatan mendakwa pencemaran sungai dan udara di Kampung Parit Perak, di sini, sudah berlarutan sejak lebih 15 tahun lalu.

Menurutnya, pencemaran itu didakwa berlaku akibat pembuangan sisa bahan buangan dipercayai mengandungi toksik dan pembebasan asap oleh sebuah kilang berhampiran.

"Saya mempunyai kebun sawit di belakang kilang itu dan pelepasan asap kilang pada waktu malam hampir setiap hari menyebabkan pengeluaran hasil tanaman terjejas, selain turut memedihkan mata.

"Buah memang ada cuma pengeluarannya sedikit dan dahulu daun menjadi rosak, malah enam pokok durian saya juga sudah mati 10 tahun lalu," katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, kilang berkenaan didakwa membuang bahan buangan berwarna coklat, putih dan kebiruan yang turut berbau, namun tidak dibuang sekali gus.

"Bila bahan buangan berwarna putih, ia berbau busuk seperti getah dan akan berbuih, malah kalau beku akan menjadi seperti getah," katanya.

Penduduk Kampung Sungai Lombong Lekir, Md Zaini Shahid, 69, berkata keadaan semakin teruk sejak pertambahan bangunan kilang, beberapa tahun lalu.

Katanya, sisa buangan disalurkan terus ke parit sebelum mengalir ke laut yang dipercayai tidak ditapis dengan selamat sebelum dibuang.

"Bahan yang dibuang berbuih dan keadaan ini sudah pasti akan menjejaskan hidupan laut. Selain itu, pembebasan asap juga menyebabkan barangan besi cepat berkarat.

"Justeru, kami sudah membuat beberapa laporan dan berharap tindakan lebih tegas dapat diambil," katanya.

Sementara itu, Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Manjung, Mohammad Rozdhi Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya ada menerima aduan berhubung masalah terbabit.

Menurutnya, pihaknya menjalankan pemantauan dan sudah memanjangkan isu berkenaan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, jurucakap kilang berkenaan menafikan dakwaan penduduk kampung berhubung sebarang pelepasan bahan kimia terbabit.

Menurutnya, fasiliti mereka sentiasa mematuhi semua protokol dan parameter mereka sentiasa dikaji oleh JAS.

"Kami tidak mengetahui jika berlaku sebarang insiden pelepasan bahan kimia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 8:52 PM