Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak mengeluarkan kompaun berjumlah lebih RM2 juta terhadap premis perniagaan dan industri atas pelbagai kesalahan dalam empat siri Ops Gempur sejak Mac lalu.

Pengarahnya, Rosli Zul berkata, pihaknya mendapati jumlah kompaun terus meningkat pada setiap operasi sekali gus disifatkan sangat membimbangkan.

Menurutnya, kompaun berjumlah RM204,000 dikeluarkan dalam Ops Gempur 1, Ops Gempur 2 (RM376,000), Ops Gempur Zon Utara (RM610,000) dan terkini Ops Gempur Barat (RM812,000).

Katanya, kenaikan jumlah kompaun itu ibarat memberi isyarat kepada mereka untuk meningkatkan lebih banyak operasi dan penguat kuasaan akta tanpa kompromi pada masa akan datang.

"Dalam Ops Gempur Barat selama empat hari bermula 28 September lalu, sebanyak 76 premis diperiksa dengan empat premis diarahkan tutup operasi.

"JAS Perak turut mengambil tindakan penguat kuasaan terhadap 32 premis kerana tidak mematuhi kehendak perundangan.

"Manakala 44 premis pula didapati mematuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya," katanya pada sidang media selepas penutupan Ops Gempur Barat, di sini, semalam.

Katanya, kebanyakan kesalahan yang dikompaun adalah membabitkan pelepasan air ke sungai air, pembuangan sisa terjadual dan pelepasan benda asing di udara.

"Selain itu, tiga premis menjalankan aktiviti pemprosesan getah, logam dan makanan dikenakan tindakan sita kerana melepaskan pencemaran serius secara terus kepada alam sekitar," katanya.

Katanya, pihaknya juga menyediakan empat kertas siasatan untuk dibawa ke mahkamah bagi kesalahan lain yang tidak mempunyai peruntukan untuk dikompaun.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Rosli Zul (tengah) bercakap pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Ops Gempur Barat di Pejabat JAS Perak. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Rosli Zul (tengah) bercakap pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Ops Gempur Barat di Pejabat JAS Perak. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 6:25 PM