ABDUL Hamid (tengah) melihat lampu yang menggunakan tenaga solar ketika melawat pameran di majlis Sambutan Hari Inovasi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) 2020 di Kuantan, hari ini. FOTO Bernama.
ABDUL Hamid (tengah) melihat lampu yang menggunakan tenaga solar ketika melawat pameran di majlis Sambutan Hari Inovasi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) 2020 di Kuantan, hari ini. FOTO Bernama.
Asrol Awang


Kuantan: Polis menyiasat sekiranya fahaman Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) yang difatwakan bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah turut menular ke negeri lain selain Johor dan Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya juga sedia bekerjasama dengan agensi lain termasuk pihak berkuasa agama negeri untuk menyekat fahaman itu.

"Setakat ini fahaman berkenaan menular di Johor dan Selangor. Bagaimanapun, kita akan menyiasat jika fahaman menular ke negeri lain.

"Tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang terbabit," katanya yang ditemui pada Majlis Sambutan Hari Inovasi Peringkat PDRM 2020 yang dirasmikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Hadir sama, Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dan Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Media sebelum ini melaporkan Polis Johor membuka kertas siasatan terhadap HTM selepas menerima 17 laporan polis terhadap fahaman yang difatwakan bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah itu.

Ayob Khan dilapor berkata, siasatan terperinci dilakukan pihaknya susulan doktrin fahaman kumpulan itu, termasuk menolak demokrasi, selain melabel kerajaan sebagai kafir dan wajib diguling dengan kekerasan.

Berita berkaitan

Polis siasat Hizbut Tahrir Malaysia

Tolak temui Hizbut Tahrir

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 3:49 PM