Mohd Amin Jalil


Seremban: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap pihak berkuasa dapat menyambung semula proses siasatan kes kematian anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (BPM) Muhammad Adib Mohd Kassim.

Presidennya, Adnan Mat berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan terkini membabitkan kes siasatan Allahyarham Muhammad Adib.

"Kami sentiasa memberi sokongan kepada pihak berkuasa dalam meneruskan siasatan siasatan keadilan dapat ditegakkan terhadap Allahyarham Muhammad Adib.

"Dalam masa yang sama, CUEPACS berharap isu ini tidak terus dijadikan modal politik atau isu perkauman demi kepentingan sesetengah pihak sahaja.

"CUEPACS menaruh harapan yang tinggi agar keadilan untuk Muhammad Adib akan terus dituntut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia Negeri Sembilan Kali ke-22 2020, di Dewan Dato Hamzah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, di sini, tadi.

Majlis perasmian disempurnakan Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Hamdan Ali dan turut hadir, Presiden Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenangjung Malaysia, Zainal Abidin Nong Chik.

Hamdan Ali (dua dari kanan) berkatakan sesuatu kepada Adnan Mat (dua dari kiri) pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agong Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia Negeri Sembilan. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Hamdan Ali (dua dari kanan) berkatakan sesuatu kepada Adnan Mat (dua dari kiri) pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agong Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia Negeri Sembilan. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Pada 27 September tahun lalu, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, keadilan terhadap Muhammad Adib amat penting bagi memastikan kes seumpama itu tidak berlaku lagi pada masa akan datang terutamanya membabitkan penjawat awam yang bertugas demi kepentingan rakyat dan negara.

Beliau berkata, walaupun inkues sudah dijalankan dan menunjukkan Allahyarham meninggal dunia bukan disebabkan kemalangan sebaliknya tindakan individu tertentu, namun sehingga kini pelakunya belum menerima hukuman.

"Kalau kes ini sudah diputuskan di mahkamah bahawa ada tindakan individu tertentu yang membawa kepada kematiannya.

"Kami hendak lihat setiap yang berlaku pada penjawat awam ada pembelaan dan dalam kes ini ternyata telah dibuat di mahkamah dan ada tindakan oleh sesuatu kumpulan.

"Jadi, kami merayu kepada kerajaan supaya beri keadilan kepada Adib ini dengan secepat mungkin kerana prosiding mengenainya telah pun ada dan boleh diambil tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 5:42 PM