Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju untuk meletakkan hal ehwal Bumiputera di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi memastikan matlamat agenda ekonomi kaum itu dicapai.

Beliau turut mengumumkan penubuhan jawatankuasa bersama antara kerajaan dan Majlis Perundingan Melayu (MPM) diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed bagi mengkaji agenda ekonomi Bumiputera.

Muhyiddin berkata, kerajaan Perikatan Nasional teguh untuk terus memastikan agenda berkenaan berterusan dengan penyertaan Bumiputera dalam pelbagai sektor ekonomi.

"Meskipun pelbagai kejayaan dicapai oleh kaum Bumiputera di Malaysia, namun kita sedar masih banyak hal yang perlu diperbaiki dan ditambah baik.

"Yang pasti, kita harus menerima hakikat bahawa kaum Bumiputera adalah kaum paling miskin dengan insiden kemiskinan mutlak tertinggi iaitu 7.2 peratus berbanding kaum Cina (1.4 peratus), manakala India (4.8 peratus) pada 2019.

"Selain itu, jurang pendapatan purata pada 2019 antara Bumiputera dan Cina adalah sebanyak RM2,802 iaitu empat kali lebih tinggi berbanding pada 1989," katanya ketika berucap pada Kongres Ekonomi Bumiputera 1 (KEB 1) 1965-2020, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof serta Setiausaha Agung MPM Datuk Dr Hasan Mat.

Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir pada Majlis Perasmian Penutupan Kongres Ekonomi Bumiputra Pertama 1965-2020 di  Wisma Majlis Perundangan Melayu (MPM) hari ini. FOTO BERNAMA
Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir pada Majlis Perasmian Penutupan Kongres Ekonomi Bumiputra Pertama 1965-2020 di Wisma Majlis Perundangan Melayu (MPM) hari ini. FOTO BERNAMA

Kongres Ekonomi Bumiputera 1 (KEB 1) 1965-2020, hari ini menggariskan 13 resolusi perlu diberi perhatian bagi memperkasakan semula Bumiputera, selain menterjemahkan semua peluang dan hak dengan lebih bijaksana.

Muhyiddin berkata, kerajaan akan meneliti dokumen dan resolusi berkenaan bagi memastikan agenda Bumiputera diberi perhatian.

"Semangat kekitaan perlu ada untuk memastikan kita saling bantu-membantu untuk membangunkan masyarakat Bumiputera secara menyeluruh," katanya.

Menurut beliau, kedua-dua indikator itu memberikan gambaran bahawa kaum Bumiputera masih ketinggalan berbanding kaum lain walaupun pelbagai usaha dibuat melalui Rancangan-rancangan Malaysia sejak bermulanya Dasar Ekonomi Baru.

"Kita mesti sedar bahawa mahu tidak mahu kaum Bumiputera mesti bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi dunia terkini, termasuk merangka dan mewujudkan ekosistem Bumiputera lebih positif, berdaya saing dan kompetitif dalam arus teknologi yang berkembang pesat.

"Kita tidak boleh lagi berada di takuk lama dan perlu mengharungi norma baharu apatah lagi dalam keadaan ekonomi semakin mencabar susulan wabak Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 5:15 PM