FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Petaling Jaya: Mayat seorang wanita ditemui dalam semak berhampiran tebing sungai di Jalan PJU 9/1, Bandar Sri Damansara, di sini, hari ini.

Polis menerima panggilan mengenai penemuan mayat itu daripada seorang pekerja pembinaan pada jam 1.15 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pekerja lelaki terbabit yang sedang memeriksa kawasan terbabit untuk kerja-kerja pembetungan terkejut menemui mayat itu lalu menghubungi polis.

Menurutnya, sepasukan polis segera ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.

"Mayat ditemui dalam semak dengan keadaan mengiring dan sudah mereput. Berdasarkan pakaian, mangsa dipercayai seorang wanita.

"Polis masih menyiasat bagaimana mangsa masuk ke kawasan itu yang terletak di bahagian bawah jalan ke sebuah kondominium," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau berkata, polis mendapatkan bantuan pasukan bomba untuk mengeluarkan mayat terbabit dan siasatan lanjut dilakukan pasukan forensik di lokasi bagi mengenal pasti jika ada unsur jenayah.

"Polis akan menjalankan siasatan dalam pelbagai sudut termasuk kemungkinan mangsa dibunuh atau mati mengejut. Kita juga akan semak rekod orang hilang untuk siasatan," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail di talian 013-3587571 atau balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 7:26 PM