- Foto hiasan
- Foto hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pengasuh warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan cuai menjaga seorang kanak-kanak lelaki sehingga menyebabkan lebam di dahi mangsa.

Nurul Fithroh Maulidiyah, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan terhadap kanak-kanak yang berusia setahun itu di sebuah rumah di Desa Pandan, di sini, antara 1 tengah hari hingga 5 petang, pada 5 September lalu, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh warganegara asing manakala peguam Nur Fazrin Ahmad memohon jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga di kampung.

"Hari ini, dua penjamin warga tempatan hadir ke mahkamah untuk menjamin anak guam saya. Mereka adalah pasangan suami isteri yang juga kenalan kepada anak guam saya," katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan dua penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan, pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai serta perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan menetapkan 14 Oktober untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 5:53 PM