PENUNTUT UPSI mengikuti sesi kuliah mengikut SOP.
PENUNTUT UPSI mengikuti sesi kuliah mengikut SOP.
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Pasukan khas ditubuhkan di beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai 'mata-mata' kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan warga kampus bebas jangkitan Covid-19.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pasukan jawatankuasa khas Covid-19 itu ditubuhkan untuk memantau pematuhan SOP di kawasan kampus.

"Semua warga UPSI tidak terkecuali dan berperanan mematuhi SOP dalam usaha membantu kerajaan memutuskan rantaian Covid-19.

"Apa yang penting kami mahu memastikan SOP dipatuhi secara menyeluruh dan tiada toleransi.

"UPSI menubuhkan jawatankuasa khas Covid-19 terdiri daripada penuntut, kakitangan akademik dan sokongan yang bekerja sebagai satu pasukan untuk memastikan SOP dipatuhi dalam semua aktiviti di peringkat universiti," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, buat pertama kalinya UPSI memperkenalkan kaedah baharu dalam proses orientasi dan pendaftaran penuntut baharu bagi mengelak risiko jangkitan dalam kampus.

"Untuk pendaftaran penuntut baharu, kami tidak membenarkan ibu bapa masuk ke kawasan pendaftaran selain proses itu dilakukan dalam tempoh kurang tiga minit untuk meminimumkan masa dan pendedahan penuntut kepada orang ramai.

"Proses orientasi hanya dilakukan secara maya menggunakan video khas untuk memperkenalkan penuntut baharu mengenai universiti, bilik kuliah, dekan, fakulti dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata, SOP itu akan dikemas kini oleh Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) kendalian Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UPM berdasarkan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

"Untuk penuntut termasuk penuntut lama yang akan memasuki kampus pada Oktober ini, kami menyediakan borang pengisytiharan yang perlu diisi terlebih dahulu.

"Borang khas itu akan disalurkan ke Pusat Kesihatan UPM untuk pemantauan sekiranya mereka ada gejala.

"Bagi mereka dari zon merah, kita tidak galakkan ke kampus buat masa ini, tetapi penuntut Asasi yang mendaftar Ogos lalu jika dari zon itu, kami asingkan di penempatan khas selama 14 hari supaya tidak bercampur dengan penuntut lain," katanya.

Menurutnya, kehadiran penuntut di kelas secara fizikal hanya dibenarkan kepada fakulti mahupun kursus yang mempunyai kurang 100 penuntut.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 4:45 PM