Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kementerian Kerja Raya masih menunggu laporan siasatan penuh berkenaan kejadian kereta yang ditimpa konkrit struktur pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), 19 September lalu.

Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, buat masa ini pihaknya tidak boleh memberi sebarang keputusan bagi mempertimbangkan tindakan yang boleh diambil mengikut undang-undang bersesuaian.

Katanya, kes itu membabitkan beberapa pihak iaitu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), DOSH (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Oleh itu, kita masih menunggu hasil siasatan daripada pihak terbabit dan kementerian tidak campur hal siasatan.

"Setakat ini tidak ada satu tempoh bila laporan penuh akan diterima dan ia mungkin mengambil masa lebih lama," katanya kepada media selepas melancarkan Pelan Strategik Jabatan Kerja Raya (JKR) 2021-2025 di sini, hari ini.

FADILLAH Yusof ketika gimik Majlis Pelancaran Pelan Strategik Jabatan Kerja Raya 2021-2025. FOTO Bernama
FADILLAH Yusof ketika gimik Majlis Pelancaran Pelan Strategik Jabatan Kerja Raya 2021-2025. FOTO Bernama

Hadir sama, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan, Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman dan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra) Zulakmal Sufian.

Pelan Strategik JKR 2021-2025, merangkumi hala tuju, bidang fokus dan pelan tindakan yang menyeluruh serta komprehensif ke arah meningkatkan kualiti, profesionalisme, memacu produktiviti, memupuk amalan lestari serta meningkatkan pengantarabangsaan.

Fadillah berkata, pelan itu juga dijadikan sebagai penanda aras kepada petunjuk prestasi utama (KPI) Pengurusan Tertinggi JKR.

Sementara itu, beliau turut mengulas berhubung cadangan agar projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang dibuat secara berperingkat bagi mengurangkan risiko keselamatan pengguna jalan raya dan kesesakan trafik.

"Perkara itu memerlukan perbincangan yang menyeluruh membabitkan semua pemegang taruh dan agensi pelaksana.

"Sektor pembinaan ini membabitkan pelbagai pihak iaitu Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan serta pihak berkuasa tempatan termasuk DBKL, MBPJ dan MPAJ.

"Sekiranya projek pembinaan dibuat secara berperingkat, kadang kala ia tidak akan dapat menyelesaikan keseluruhan pelan induk pembangunan di kawasan pembandaran berkenaan," katanya.

Berita berkaitan:

  • Syukur kakak selamat
  • Insiden SUKE, tunggu laporan penuh siasatan
  • Siasat reka bentuk, pemantauan tapak
  • Henti kerja tapak SUKE serta-merta
  • Ketat aspek keselamatan laluan dalam binaan
  • SUKE arah kerja pembinaan dihentikan
  • Wanita nyaris maut, konkrit lebuh raya hempap kereta
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 1:26 PM