PEGAWAI dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor membuat pemeriksaan dalam Ops Didik di SMK Kulai Besar. FOTO ihsan JSPT JOHOR
PEGAWAI dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor membuat pemeriksaan dalam Ops Didik di SMK Kulai Besar. FOTO ihsan JSPT JOHOR
Omar Ahmad


Kulai: Sebanyak 175 kes kemalangan yang dilaporkan di Johor membabitkan pelajar sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor Superintendan M Kumarasan berkata, daripada jumlah itu sebanyak 75 kes membabitkan kemalangan maut, parah (41 kes), cedera ringan (37 kes) dan kemalangan dengan kerosakan (22 kes).

"Pihaknya memandang serius berkaitan isu peningkatan kadar kemalangan dalam kalangan pelajar dan pembabitan mereka dengan aktiviti tidak bermoral seperti samseng jalanan, basikal lajak dan lain-lain.

"Menerusi Ops Didik, ia akan memberi kesedaran dan advokasi kepada semua pelajar sekolah terutamanya pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah.

"Objektif utama adalah memberi kesedaran tentang keselamatan jalan raya, kefahaman tentang undang-undang dan pencegahan daripada aktiviti tidak bermoral.

"Secara tidak langsung memberi kesedaran tentang tanggungjawab ibu bapa dalam memantau aktiviti anak," katanya dalam satu kenyataan selepas menjalankan rutin Ops Didik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kulai Besar di sini, hari ini.

Menurut Kumarasan, aktiviti bersama 19 pegawai dan anggota turut menjalankan pemeriksaan terhadap 47 motosikal dalam Ops Didik di sekolah itu.

Katanya, sebanyak 24 saman dikeluarkan dengan pelbagai kesalahan.

"Antaranya tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada cermin sisi, tiada nombor pendaftaran dan lain-lain kesalahan.

"Sebanyak 14 motosikal turut disita atas kesalahan mandatori kerana tiada lesen memandu yang mana mengkehendaki pemiliknya ke balai polis untuk tujuan dokumentasi.

"Saya mengingatkan semua ibu bapa dan penjaga supaya mengambil berat dalam pemantauan anak-anak dan jangan mengambil mudah dengan membiarkan anak-anak menunggang motosikal tanpa lesen memandu atas alasan yang tidak sewajarnya.

"Jangan menjadikan nyawa anak-anak sebagai taruhan yang mengundang bahaya kepada anak-anak dan pengguna jalan raya yang lain", katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 6:20 PM