Gambar fail, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama.
Gambar fail, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Seramai 661 individu ditahan polis atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 648 individu dikompaun, manakala 13 lagi direman.

Katanya, antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub dan kelab malam sebanyak 577 kes, penjarakan fizikal (42), tidak memakai pelitup muka (30), gagal menyediakan peralatan serta merekod butiran diri (8), premis beroperasi lebih masa (3) dan gagal mematuhi arahan kuarantin di rumah (1).

Sementara itu, beliau berkata, dalam Operasi Benteng, pihak berkuasa menahan 40 pendatang asing tanpa izin (Pati), lima tekong dan dan seorang penyeludup.

"Turut berjaya dirampas sembilan kenderaan. Sebanyak 81 sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam membabitkan pelbagai agensi keselamatan.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNEHP) juga sudah melakukan 948 pemeriksaan khas Pematuhan Prosedur Operasi Standard Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (SOP PKPP) dan mendapati 933 premis, mematuhi SOP yang ditetapkan, manakala 15 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.

Katanya, dalam tempoh PKPP ini, kerajaan menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal serta kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 3:32 PM