MOHD Azri Abd Razak. FOTO Mohd Amin Jalil
MOHD Azri Abd Razak. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Umat Islam negara ini yang ingin menunaikan umrah perlu menggunakan perkhidmatan agensi yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC).

Naib Presiden Unit Umrah dan Haji, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (Matta) Malaysia, Mohd Azri Abd Razak berkata, mereka perlu menyelidik terlebih dulu agensi berkenaan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Katanya, selepas pengumuman Kerajaan Arab Saudi membenarkan semula umrah secara berperingkat mulai 4 Oktober selepas tujuh bulan ditangguh berikutan pandemik Covid-19, umat Islam dilihat mula membuat persiapan untuk menunaikan umrah.

"Mereka dinasihatkan menyelidik terlebih dulu agensi berkaitan supaya tidak timbul masalah atau menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab.

"Ini berikutan pelbagai maklumat viral dalam laman sosial, baru-baru ini termasuk kes lama yang diviralkan semula dan boleh mengelirukan orang ramai," katanya ketika ditemui di Senawang, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Matta Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima banyak panggilan dan pertanyaan daripada orang ramai mengenai maklumat menunaikan umrah selepas pengumuman oleh Kerajaan Arab Saudi itu.

"Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat terkini dari semasa ke semasa dan kami menjangkakan kemungkinan peluang melakukan ibadat itu bermula awal tahun depan bergantung kepada situasi pandemik Covid-19.

"Semua syarikat di bawah Matta boleh membuat promosi atau jualan produk umrah yang ditawarkan namun dinasihatkan tidak mengambil wang pendahuluan kerana kerajaan belum membuat keputusan mengenai kebenaran rakyat negara ini menunaikan umrah," katanya.

Pada 23 September lalu, Arab Saudi membenarkan semula umrah untuk sepanjang tahun secara berperingkat mulai 4 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 3:28 PM