LIM Kit Siang (kiri) dan Mohamed Apandi (kanan). FOTO NSTP.
LIM Kit Siang (kiri) dan Mohamed Apandi (kanan). FOTO NSTP.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan tarikh baharu untuk mendengar kes saman RM10 juta yang difailkan bekas Peguam Negara (AG) Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Lim didakwa memfitnah Mohamed Apandi dalam satu artikel berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Datuk Azimah Omar menetapkan 5 hingga 9 April 2021 untuk perbicaraan itu selepas peguam, M Visvanathan yang mewakili Mohamed Apandi memaklumkan bahawa Lim tidak dapat hadir di mahkamah, hari ini kerana sedang menjalani kuarantin Covid-19 selepas ke Sabah, baru-baru ini.

Mahkamah sebelum ini menetapkan hari ini hingga 30 September dan 1 hingga 2 Oktober depan untuk perbicaraan kes itu.

Terdahulu, hakim mencadangkan supaya saksi yang disepina oleh Mohamed Apandi memberi keterangan terlebih dahulu memandangkan mahkamah telah menetapkan minggu ini untuk perbicaraan.

Bagaimanapun, peguam Rayveni Asogan yang mewakili Lim memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya mahu berada di mahkamah dan mendengar keterangan saksi.

Mahkamah juga menetapkan 3 Februari tahun depan bagi pengurusan kes yang selanjutnya.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Rayveni mengesahkan Lim sedang menjalani kuarantin selama 14 hari selepas pulang daripada menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pada 5 Julai 2019, Mohamed Apandi memfailkan saman fitnah terhadap Lim dan berdasarkan pernyataan tuntutannya pada 6 Mei 2019, Lim telah menulis dan menyebabkan penyiaran atau penerbitan artikel bertajuk 'Dangerous fallacy to think Malaysia's on the road to integrity' dalam portal berita Malaysiakini.

Mohamed Apandi mendakwa perkataan yang dikatakan fitnah dalam artikel itu antara lain membawa maksud beliau terbabit dalam jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang yang tidak mempunyai moral dan integriti, tidak beretika dan menyalahgunakan kuasanya sebagai AG pada masa itu.

Mohamed Apandi yang memegang jawatan itu dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018, menegaskan bahawa kata-kata fitnah tersebut tidak benar dan ditulis dengan tujuan untuk mencemarkan imej dan kredibilitinya sebagai bekas AG kerana mahu mendapatkan publisiti murahan.

Beliau menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi am sebanyak RM10 juta serta injunksi bagi menghalang Lim dan/atau ejennya daripada menerbitkan semula perkataan yang dikatakan fitnah dalam artikel berkenaan dan bantuan lain yang sesuai daripada mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 3:02 PM