LAPANGAN Terbang Antarabangsa KLIA2. FOTO arkib NSTP
LAPANGAN Terbang Antarabangsa KLIA2. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sudah membuat penambahbaikan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 bagi memudahkan proses dan mempercepatkan saringan Covid-19 kepada semua penumpang dari Sabah.

MAHB dalam kenyataannya berkata, antara inisiatif yang diambil termasuklah menyediakan laluan khas untuk warga emas, orang kurang upaya (OKU), wanita mengandung serta keluarga yang membawa anak kecil.

Katanya, MAHB turut menyediakan tempat duduk tambahan di pintu ketibaan serta di sepanjang jalan aliran ke kawasan saringan sementara menunggu penumpang lain menjalani saringan.

"MAHB turut meminta pengendali makanan dan minuman (F&B) untuk memanjangkan operasi mereka yang sebelum ini hanya dibuka sehingga 8 malam bagi memudahkan penumpang untuk membeli minuman ketika proses menunggu.

"Tenaga kerja tambahan daripada pasukan keselamatan penerbangan dan pelanggan turut dikerahkan bagi memberikan bantuan di lapangan serta membantu memastikan penjarakan fizikal," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

MAHB berkata sehingga semalam, sebanyak 12 penerbangan dari Sabah tiba di KLIA yang membawa 1,400 penumpang dan di KLIA2 pula sebanyak 19 penerbangan membawa 2,300 penumpang.

Hari ini, terdapat 10 penerbangan akan tiba di KLIA dan 19 lagi di KLIA2 sepanjang hari ini.

"MAHB sentiasa berkomunikasi dengan Jawatankuasa Covid1-19 yang merangkumi semua pemegang kepentingan utama lapangan terbang dan kami berharap dengan kerjasama dari semua agensi dan pihak berkepentingan, kami dapat memberikan pengalaman yang lancar kepada penumpang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19



  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 2:59 PM