Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Mengadun dadah dengan pelbagai perisa dan pewarna sebelum diproses menjadi serbuk untuk jus minuman yang kemudian diagih kepada pengedar di Pulau Pinang.

Kaedah itu dilakukan sepasang warga tempatan yang bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah, sebelum berjaya ditumpaskan polis dalam serbuan di rumah teres dua tingkat di sini, pada 8.30 malam Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, rumah berkenaan dijadikan makmal mini untuk memproses dadah dan kedua-dua suspek berusia 29 dan 35 tahun diberkas bersama pelbagai peralatan memasak.

Katanya, serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan itu turut menjumpai dadah jenis ketamin, syabu dan Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dan pil yaba bernilai RM37,752.

LEE (kanan) menunjukkan dadah dan peralatan memproses yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Nibong Tebal. FOTO Nur Izzati Mohamad.
LEE (kanan) menunjukkan dadah dan peralatan memproses yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Nibong Tebal. FOTO Nur Izzati Mohamad.

"Siasatan awal mendapati lelaki dan wanita itu sudah melakukan kegiatan berkenaan sejak lapan bulan lalu yang memfokus kepada pasaran tempatan.

"Mereka juga mempunyai kepakaran dalam memproses dan menghasilkan dadah campuran ini kerana sering berlatih dan dadah yang dirampas pada serbuan itu boleh digunakan 1,983 individu," katanya dalam sidang media di IPD Seberang Perai Selatan, hari ini.

Lee berkata, suspek lelaki bekerja sebagai penyelenggara pendingin hawa sambilan, manakala wanita tidak bekerja.

Katanya, ujian saringan air kencing kedua-duanya didapati positif dadah dan mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kedua-duanya direman tujuh hari hingga Rabu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 12:24 PM