GAMBAR hiasan. FOTO MALAI ROSMAH TUAH.
GAMBAR hiasan. FOTO MALAI ROSMAH TUAH.
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan membentuk kerajaan negeri dengan jumlah 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) termasuk tiga wakil rakyat Bebas yang menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), malam tadi.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa yang menyebut angka itu berkata, gabungan itu akan membincangkan langkah seterusnya bagi membentuk kerajaan prihatin rakyat Sabah.

"Rakyat Sabah sudah bersuara...41-32. GRS akan membentuk kerajaan baru Sabah, Insya-Allah. GRS akan bincang esok langkah seterusnya secara bersama bagi membentuk kerajaan prihatin rakyat Sabah," katanya menerusi Twitter beliau, hari ini.

Tiga calon Bebas yang menang malam tadi adalah Datuk Masiung Banah yang mengekalkan kemenangan di Dun Kuamut dengan 2,802 undi (majoriti 978), menewaskan calon BN Juhari Janan (1,547 undi); Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Benson Inggam (1,824 undi); Parti Cinta Sabah (PCS), Mohd Mezsi Ng Abdullah (721 undi) dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Dr Ationg Tituh (270 undi).

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, Masiung menang di Dun berkenaan atas tiket BN dengan mendapat majoriti undi 4,121.

Sementara, calon Bebas di Dun Kemabong, Datuk Rubin Balang menang 4,214 undi dengan majoriti 1,012 undi, menewaskan calon UPKO Lucas Umbul (3,202 undi); BN, Raime Unggi (2,966 undi); Parti Liberal Demokratik (LDP) Juster Peter (268); PCS, Tay Jin Kiong @ Alfred (229 undi) dan USNO, Rainus Sagulau (73 undi).

Ketika kempen PRN lalu, Rubin sudah menyatakan hasrat dan pendiriannya untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) dan sedia menyokong sesiapa saja yang dicadangkan oleh PN untuk menjadi ketua menteri.

Seorang lagi calon Bebas adalah di Dun Pitas, Datuk Ruddy Awah yang menang 2,918 undi dengan majoriti 599 undi mengalahkan calon BN Sufian Abd Karim (2,359 undi); Parti Warisan Sabah (Warisan) Shariff Azman (1,565 undi); PCS Sh Sahar Sh Ading (314) dan Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Ilasam Nurkasim (114).

Ruddy pula pada Ogos lalu mengumumkan penyertaannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum mengambil keputusan bertanding di Dun berkenaan selepas kerusi itu diberikan kepada calon Umno ketika pengagihan kerusi dibuat antara BN dan PN sebelum ini.

Tumpuan kini adalah mengenai siapa yang akan dipilih sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu dalam kalangan semua calon yang menang dalam PRN berkenaan.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 11:10 AM